X

Kindly register in order to view this article
!

KKM khuatir gelombang baharu jika rakyat tidak patuh

Jumlah keseluruhan sembuh dan discaj dipaparkan pada skrin semasa sidang media harian Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Penurunan kes Covid-19 di negara ini bagi penularan tempatan adalah selaras dengan unjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan hasil tindakan kesihatan awam daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penurunan itu turut dibantu dengan pematuhan orang ramai terhadap normal dan kelaziman baharu serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi pelbagai sektor dan industri.

Namun demikian menurutnya, KKM khuatir mungkin akan berlakunya peningkatan kes susulan pergerakan orang ramai melalui aktiviti kunjung-mengunjung, merentas negeri dan pergaulan dalam kalangan masyarakat semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Daripada maklumat yang diperoleh semasa sidang akhbar Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), didapati sebanyak 2,449,556 kenderaan telah diperiksa oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 16 Mei 2020 sehingga kini.

“Dalam tempoh yang sama, sebanyak 18,303 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung dan telah diarah berpatah balik oleh PDRM. Syabas diucapkan kepada pihak PDRM atas usaha ini.

“Sewajarnya, ia adalah tanggungjawab kita bersama untuk melakukan segala usaha yang diperlukan dalam menangani dan membendung penularan jangkitan Covid-19 di negara kita,” katanya pada sidang akhbar harian perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata, sekiranya masyarakat leka, tidak patuh dan ingkar kepada SOP yang ditetapkan, KKM menjangkakan akan berlakunya peningkatan kes Covid-19 yang mendadak yang seterusnya boleh mengakibatkan gelombang baharu bagi wabak Covid-19 di negara ini.

Oleh itu menurutnya, masyarakat harus berwaspada dan tidak mengambil mudah situasi penurunan kes ini.

“Seperti yang KKM maklumkan sebelum ini, peperangan menghadapi virus Covid-19 ini masih belum tamat,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 5,559,130 kes Covid-19dicatatkan di seluruh dunia sehingga semalam.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 348,610 kes kematian dilaporkan setakat ini.

“Pandemik ini dilihat semakin serius dan masih jauh dari berakhir.

“Setakat ini, negara Malaysia telah menyumbang kepada 0.14 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 daripada seluruh dunia,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!