Kes Covid-19 di Pulau Pinang menurun

Kes Covid-19 di Pulau Pinang menurun daripada tiga angka ke dua angka dengan lebih 90 peratus daripadanya bergejala ringan yang memerlukan pemantauan kendiri. Gambar kecil: Daniel
Kes Covid-19 di Pulau Pinang menurun daripada tiga angka ke dua angka dengan lebih 90 peratus daripadanya bergejala ringan yang memerlukan pemantauan kendiri. Gambar kecil: Daniel
A
A
A

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Kes Covid-19 di Pulau Pinang menunjukkan trend menurun iaitu daripada tiga angka ke dua angka.

Data tersebut diperolehi bermula minggu kedua terakhir Disember tahun lalu sehingga minggu ini.

Exco Kesihatan, Belia dan Sukan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, daripada jumlah tersebut, 96.7 peratus adalah bergejala ringan yang hanya memerlukan pemantauan kendiri di rumah.

Exco Kesihatan, Belia dan Sukan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, trend itu susulan daripada cuti sekolah selain sambutan perayaan Krismas pada Disember lalu.

"Kes Covid-19 di Pulau Pinang menurun daripada tiga angka ke dua angka dengan lebih 90 peratus daripadanya bergejala ringan yang memerlukan pemantauan kendiri, ia bukan kes serius.

"Ia susulan daripada tamatnya cuti sekolah dan perayaan Krismas pada bulan Disember yang lalu.

"Peratusan ini diambil daripada minggu kedua terakhir Disember sehingga minggu ini," katanya pada sidang akhbar di Komtar pada Jumaat.

Daniel berkata, orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berasingan, sebanyak 233 kes demam denggi di Pulau Pinang dicatatkan bagi Minggu Epidemiologi ke-2 (ME2) bagi tempoh 7 hingga 13 Januari tahun ini.

Daniel berkata, daerah Seberang Perai Tengah (SPT) mencatatkan kumulatif kes paling tinggi iaitu 93 kes.

"Timur Laut mencatatkan kes kumulatif 44, Barat Daya (41), Seberang Perai Selatan (SPS), 44 manakala Seberang Perai Utara (SPU) mencatatkan kes yang paling kurang, iaitu hanya 11 kes.

"Untuk bilangan kes bagi ME2, Timur Laut mencatatkan 21 kes, Barat Daya (17), SPU (5),SPT (44) dan SPS (23)," katanya.

Tambah beliau lagi, bagi ME1, Timur Laut mencatatkan 23 kes, Barat Daya (24), SPU (6), SPT (49) dan SPS (21).

"Dengan data ini, ia menunjukkan semua daerah mengalami penurunan kes bagi ME2.

"Sementara itu, bagi kumulatif wabak 2024 pula, sebanyak 30 lokaliti dikesan pada ME3 (sehingga 16 Januari) yang melibatkan tujuh di Timur Laut, lima di Barat Daya, satu di SPU, 14 di SPT dan tiga di SPS," katanya.