Empat kes Covid-19 dikesan di PPS Johor

Empat kes Covid-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir di Johor yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sejak Sabtu lepas hingga semalam. Foto Bernama
Empat kes Covid-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir di Johor yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sejak Sabtu lepas hingga semalam. Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Empat kes Covid-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir di Johor yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sejak Sabtu lepas hingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata, empat kes direkodkan di daerah Mersing, Pontian, Kota Tinggi dan Johor Bahru membabitkan mangsa berusia empat bulan hingga 60 tahun.

"Semua yang positif Covid-19 ini mengalami simptom tidak serius dan tidak ada tanda lagi kes ini akan terus merebak di PPS.

"Mereka yang disahkan positif, ditempatkan di bilik berasingan di bawah pantauan pasukan perubatan dan kesihatan yang ditempatkan di semua PPS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelantikan duta perpaduan 2.0 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang di sini pada Sabtu.

Turut hadir Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang serta Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Johor Suraya Wen.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersama pihak berkaitan seperti Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) terus memantau keadaan mangsa banjir di PPS dari semasa ke semasa.

"Kita sudah memberi advokasi kepada semua supaya buat langkah-langkah pencegahan, kita pun sudah masuk ke semua PPS untuk memberi kesedaran kepada mangsa. Kita juga pergi ke setiap PPS untuk membuat saringan dan memberi khidmat nasihat kepada mangsa banjir," katanya.

Sehingga kini, sebanyak 14 PPS dibuka di daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Batu Pahat yang menempatkan sebanyak 1,515 mangsa daripada 450 keluarga terjejas akibat banjir di negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Berkenaan majlis pelantikan duta perpaduan, sebanyak 157 pelajar dari institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) dilantik sebagai duta perpaduan 2.0 bagi meneruskan usaha kerajaan negeri dalam memupuk semangat perpaduan dan integrasi Johor demi keharmonian dan kemajuan agenda pembangunan negeri. - Bernama