353 kes Covid-19 varian XBB dilaporkan di Johor

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 353 kes Covid-19 dengan subvarian XBB dilaporkan di negeri ini membabitkan sembilan daerah setakat Sabtu lalu.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, situasi kes Covid-19 di Johor masih terkawal di mana subvarian BF.7 dan XBB 1.16 masih belum lagi dilaporkan di negeri ini.

"Daerah Johor Bahru merekodkan jumlah tertinggi kes Covid-19 subvarian XBB iaitu sebanyak 200 kes.

"Seterusnya daerah Muar sejumlah 33 kes, Kulai (28 kes), Batu Pahat (23 kes), Kluang (22 kes), Kota Tinggi (20 kes), Tangkak (14 kes), Pontian (11 kes) dan Segamat (2 kes)," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Tian Soon berkata, sebanyak tujuh kluster dengan kumulatif 134 kes dilaporkan bagi wabak jangkitan saluran pernafasan, iaitu Influenza-like-illness (ILI) sehingga minggu epid pada 16/2023.

"Kluster berkenaan dilaporkan berlaku di institusi pendidikan merangkumi 85.7 peratus manakala satu kluster berlaku di hospital (14.3 peratus).

"Secara amnya, kes ILI dan URTI adalah jangkitan biasa yang berlaku tanpa musim di negara ini sepanjang tahun dan hanya memerlukan pemantauan dan pengasingan diri," katanya.

Tambahnya, berdasarkan pemantauan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) terhadap jangkitan ILI dan URTI, mendapati situasi masih terkawal walaupun terdapat beberapa kluster melibatkan sekolah berasrama yang dikesan.