Perak rekod 1,089 kes Covid-19 dalam tempoh dua minggu

Perak merekodkan 1,089 kes Covid-19 dalam tempoh dua minggu pertama tahun ini - Gambar hiasan (Gambar kecil: Sivanesan)
Perak merekodkan 1,089 kes Covid-19 dalam tempoh dua minggu pertama tahun ini - Gambar hiasan (Gambar kecil: Sivanesan)
A
A
A

IPOH - Perak merekodkan 1,089 kes Covid-19 dalam tempoh dua minggu pertama tahun ini, kata Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi negeri, A Sivanesan.

Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 291.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 278 kes.

Menurutnya, salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes tersebut adalah disebabkan musim cuti sekolah.

"Begitupun keadaan masih terkawal dan jabatan kesihatan akan terus memantau situasi semasa khususnya kemasukan pesakit ke hosital bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dapat memenuhi keperluan pesakit Covid-19 dengan optimum," katanya.

Sivanesan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Membanteras Denggi peringkat negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.
Sivanesan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Membanteras Denggi peringkat negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Membanteras Denggi peringkat negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Sivanesan berkata, kadar penggunaan katil hospital Kementerian Kesihatan di negeri ini baru mencapai 64 peratus termasuk bagi kes bukan Covid-19, manakala katil unit rawatan rapi (ICU) pula sebanyak 60 peratus.

"Kadar ini adalah mencukupi buat masa ini. Jika bilangan pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke wad meningkat dalam masa terdekat, penggunaan katil di wad biasa dan ICU masih tidak terbeban," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan jumlah rakyat negeri ini yang mengambil dos penggalak atau suntikan vaksin Covid-19 yang ketiga dan keempat terlalu rendah.

Katanya, dos pertama merekodkan 80.7 peratus dan dos kedua sebanyak 79.1 peratus.

"Agak menyedihkan apabila suntikan bagi dos penggalak satu merekodkan 46.9 peratus dan hanya 1.7 peratus bagi dos penggalak dua," katanya.