Banjir: KKM kesan 20 kes Covid-19 di PPS Kelantan, Terengganu

Dr Dzulkefly (kanan) melihat keadaan seorang kanak-kanak, Adam Mamat yang berkerusi roda kerana kemalangan jalan raya dua bulan lalu ketika lawatan di PPS SK Jeli pada Ahad.
Dr Dzulkefly (kanan) melihat keadaan seorang kanak-kanak, Adam Mamat yang berkerusi roda kerana kemalangan jalan raya dua bulan lalu ketika lawatan di PPS SK Jeli pada Ahad.
A
A
A

JELI - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 20 kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan dan Terengganu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kes itu berlaku dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) dengan rekod bermula pada 22 November lalu sehingga 30 Disember lalu.

Menurutnya, daripada keseluruhan 20 kes itu, sebanyak 15 kes dikesan di Kelantan manakala lima kes di Terengganu.

“Kesemua kes Covid-19 tersebut stabil terdiri daripada kategori dua sebanyak 17 kes, kategori tiga (2) dan kategori empat (1),” katanya pada sidang akhbar sempena Lawatan Kerja Rasmi ke Kelantan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Jeli di sini pada Ahad.

Dr Dzulkefly (kanan) melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Jeli.
Dr Dzulkefly (kanan) melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Jeli.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli.

Dr Dzulkefly berkata, kes Covid-19 kategori empat itu melibatkan pesakit warga emas dengan komorbid hipertensi tidak terkawal dan masukkan ke wad di Hospital Jeli, namun sudah dibenarkan pulang pada Sabtu.

Ujar beliau, kesemua kes Covid-19 di PPS seterusnya sembuh bagaimanapun KKM sentiasa memantau trend jangkitan dalam kalangan mangsa banjir dan melaksanakan aktiviti kawalan di pusat itu bagi mencegah penularan.

Artikel Berkaitan:

“Aktiviti saringan bergejala Covid-19 dalam kalangan penghuni PPS
 dilaksanakan oleh pasukan perubatan.

“Mangsa yang disahkan positif Covid-19 akan diasingkan segera sehingga tamat tempoh isolasi sama ada di hospital, PPS atau di rumah mengikut tahap jangkitan,” katanya.