X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Jangan keliru antara PKP, PKPB

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Rakyat diingatkan agar terus mematuhi peraturan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta tidak keliru dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan mulai hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun di bawah PKPB, fokus polis, tentera serta pihak berkuasa lain kini lebih kepada penguatkuasaan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih berkuat kuasa.

Beliau berkata, ketika ini, ramai yang terkeliru seolah-olah Akta 342 itu sudah tidak berkuat kuasa disebabkan pelaksanaan PKPB.

"PKPB sama dengan pelaksanaan PKP-PKP lain dan pengingkaran terhadapnya akan dikenakan hukuman yang sama di bawah Akta 342.

"Walau nama PKP bertukar kepada PKPB ia tetap PKP, statusnya sama," katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Menurutnya, pemilik premis yang gagal mematuhi peraturan dan SOP juga boleh dikenakan tindakan sama mengikut Akta 342 Kanun Keseksaan, malah perniagaan mereka juga boleh ditutup.

"Sebab itu saya ingatkan, semua peraturan ini diwartakan dan apabila PKP satu menjadi PKP dua, peraturan mengikut Akta 342 diwartakan berdasarkan tarikh permulaan dan tarikh akhir PKP itu.

"Maka jika diwartakan peraturan bawah Akta 342, peraturan diwarta sebelumnya adalah terbatal.

"Contohnya, sewaktu PKP empat, hanya seorang dibenarkan berada dalam sebuah kereta tetapi PKPB ini kita wartakan peraturan baharu iaitu penumpang dalam kereta boleh ada empat orang," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap mana-mana pihak tidak keliru tentang perkara tersebut berikutan seluruh negara termasuk negeri dan katanya, jika ada pihak yang masih mematuhi akta dan peraturan di bawah PKP empat, maka ia salah di sisi undang-undang.

"Harap kita tak keliru tentang perkara ini kerana seluruh negara termasuk negeri dan daerah tertakluk kepada Akta 342 dan peraturan-peraturan yang diwartakan dalam PKPB.

"Harap rakyat sedar dan patuh kepada peraturan serta SOP di bawah PKPB," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!