KPM laksana Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan satu Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 secara dalam talian sebagai langkah membangunkan kurikulum persekolahan yang baharu.

Menerusi kenyataan pada Khamis, kementerian itu memaklumkan tinjauan itu dilakukan bermula 25 Ogos sehingga 15 September depan melalui pautan https://bit.ly/KurikulumKita2027.

"Setakat ini, seramai 1,600 orang yang terdiri daripada guru, pensyarah, ibu bapa, badan bukan kerajaan (NGO) dan industri telah dilibatkan dalam 21 sesi libat urus dan pelaksanaan Konvensyen Kurikulum," ujar KPM.

Kata kementerian itu, pelaksanaan tindakan segera dilakukan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran dijalankan secara efektif dengan merujuk kepada aras yang ditetapkan dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).

Mana- mana subtopik yang terlalu berat dan tidak selari dengan keperluan semasa murid di dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan 2017 dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) akan dinilai semula.

KPM juga telah melaksanakan program Modul Bimbingan (MOBIM) untuk mata pelajaran Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai inisiatif membantu guru memahami kurikulum dan melaksanakan PdP dengan lebih berkesan.

MOBIM telah disebar luas ke semua sekolah mulai Mac 2023 bermula dengan Tahun Satu dan diedarkan secara berperingkat untuk tahun seterusnya sehingga selesai.

Inisiatif MOBIM boleh diakses melalui pautan berikut: https://sites.google.com/moe-dl.edu.my/mobim/home

Artikel Berkaitan: