Rumah Ngaji erat hubungan komuniti cara santai

Sebahagian peserta dalam kalangan ahli Rumah Ngaji Teluk Muroh dan komuniti setempat yang hadir memeriahkan program berkenaan.
Sebahagian peserta dalam kalangan ahli Rumah Ngaji Teluk Muroh dan komuniti setempat yang hadir memeriahkan program berkenaan.
A
A
A

LUMUT – Rumah Ngaji bukan sekadar menjadi tempat masyarakat mendalami ilmu al-Quran, malah berperanan sebagai wadah menyatukan komuniti menerusi aktiviti santai yang mampu mengeratkan hubungan silaturahim.

Menyedari kepentingan hubungan sesama masyarakat, Rumah Ngaji Teluk Muroh bersama Ahli Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Abdul Razak Nazri mengambil inisiatif menganjurkan Program Sukan Santai-Santai Sekampung di Teluk Muroh di sini pada Rabu, dengan menghimpunkan kira-kira 100 peserta.

Penggerak Rumah Ngaji Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie berkata, program berkonsepkan sukan santai tersebut memberi peluang kepada peserta Rumah Ngaji dan penduduk kampung berinteraksi dalam suasana lebih mesra sekali gus mengukuhkan hubungan komuniti.

Ahli Rumah Ngaji bersama komuniti setempat menguji kemampuan dalam permainan dalaman yang disediakan sempena Program Sukan Santai-Santai Sekampung di Teluk Muroh di sini pada Rabu.
Ahli Rumah Ngaji bersama komuniti setempat menguji kemampuan dalam permainan dalaman yang disediakan sempena Program Sukan Santai-Santai Sekampung di Teluk Muroh di sini pada Rabu.

"Selama ini aktiviti mingguan kami lebih tertumpu kepada kelas pengajian al-Quran. Jadi, program seperti ini memberi ruang kepada peserta dan masyarakat setempat untuk berkumpul melalui aktiviti lebih santai dan menyeronokkan.

"Antara permainan yang diadakan termasuk dam haji, dam ular dan batu seremban," katanya kepada Sinar Harian.

Maziah berkata, kesibukan dengan komitmen harian serta urusan keluarga menyebabkan penduduk jarang mempunyai kesempatan untuk berkumpul dan bertemu rakan sekampung.

Justeru, program berkenaan bukan sekadar memberi peluang kepada peserta beriadah malah menjadi ruang untuk beramah mesra, bergelak ketawa, saling bermaafan dan mengeratkan ukhuwah.

Artikel Berkaitan:

Ahli Rumah Ngaji bersama komuniti setempat menguji kemampuan dalam permainan dalaman yang disediakan sempena Program Sukan Santai-Santai Sekampung di Teluk Muroh di sini pada Rabu.
Ahli Rumah Ngaji bersama komuniti setempat menguji kemampuan dalam permainan dalaman yang disediakan sempena Program Sukan Santai-Santai Sekampung di Teluk Muroh di sini pada Rabu.

Menurutnya, biarpun pertama kali diadakan, sambutan menggalakkan yang diterima mendorong Rumah Ngaji Teluk Muroh merancang untuk meneruskan program seumpama itu pada masa akan datang.

Tambahnya, program berkenaan turut diselitkan dengan pengisian rohani menerusi sesi tazkirah yang disampaikan Ustazah Rafidah Mohammad.

Menurutnya, gabungan aktiviti fizikal, pengukuhan hubungan sesama komuniti dan pengisian kerohanian mampu memberikan manfaat menyeluruh kepada peserta.

"Bagi kami Rumah Ngaji bukan sekadar tempat untuk belajar membaca al-Quran tetapi juga tempat membina persaudaraan, menyuburkan kasih sayang dan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

"Kami percaya usaha mempelajari serta menghayati al-Quran akan membawa ganjaran kebaikan bukan sahaja di dunia malah di akhirat," katanya.

Beliau berharap usaha berkenaan dapat diteruskan sebagai wadah menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat serta mendapat keberkatan ALLAH SWT.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!