Kemiskinan bukan salah ibu bapa, wanita mesti sentiasa bangkit

Norriza
Norriza
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kemiskinan bukan salah ibu bapa, namun seseorang itu perlu berusaha sehabis baik untuk mengubah nasib kehidupannya.

Demikian perkongsian Norriza Muhammad Yusof selaku penerima Anugerah Tokoh Wanita Felda (The Khadijah Blanket) sempena Women #QuranHour 2026 'Wanita Felda Bangkit'.

Norriza yang juga pengasas Ieza Yusof Consultancy berkata, ketika bekerja sebagai pembantu akaun beliau hanya mampu memberikan memberikan RM100 kepada ibu bapanya.

Jelas beliau, keadaan tersebut menjadi titik-tolak perubahan apabila beliau menetapkan matlamat untuk menghulurkan RM1,000 sebulan buat kedua orang tua.

"Bagi mencapai matlamat itu, saya melakukan sehingga lima pekerjaan serentak. Pendapatan bulanan kemudian meningkat dan membolehkan saya memberi lebih RM1,000 kepada ibu dan bapa.

"Selepas tiga tahun makan gaji, saya meninggalkan pekerjaan sebagai pembantu akaun untuk menceburi bidang perniagaan, latihan dan konsultasi kewangan. Sekarang Alhamdulillah.

"Tidak pernah terfikir sebagai anak Felda dan asnaf, bila ada kesungguhan yang betul-betul ALLAH akan izinkan untuk kita keluar daripada belenggu kemiskinan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas program Felda Women #QuranHour 2026 bertempat di Menara Felda, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin; Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff; Penaung Rumah Ngaji, Datin Seri Shamsida Taharin dan Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman.

Artikel Berkaitan:

Norriza yang sudah 24 tahun dalam bidang perancangan kewangan dan hartanah turut menzahirkan penghargaan kepada Waqaf Felda atas sokongan diberikan.

Beliau dalam masa sama berharap wanita akan memiliki ketabahan, pengorbanan serta keteguhan dalam perjuangan untuk menjadi inspirasi sepanjang zaman.

Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Tokoh Wanita Felda (The Khadijah Blanket) dan Tokoh Penerokawati, Millah Yoot berkata, kaum wanita dinasihatkan untuk sentiasa mentaati ibu bapa meskipun diri sendiri sedang bergelut menghadapi ujian berat oleh ALLAH SWT.

Kata Millah, tidak dinafikan masyarakat masa kini khususnya kaum Hawa terlalu berhati rapuh, memendam rasa dan suka membawa haluan sendiri kononnya atas nama berdikari.

Millah
Millah

Jelasnya, wanita perlu tahu bahawa menuruti segala kata-kata ibu bapa punca utama seseorang itu berjaya di dunia dan akhirat.

"Kalau dengar kata ibu bapa, maka selamatlah mereka. ALLAH SWT beri hidayah kepada orang-orang yang mentaati ibu bapa, itu punca utama.

"Tetapi, saya faham ibu bapa pula ada yang mengharapkan anak-anak sahaja kena taat pada mereka. Jadi, perlu ada komunikasi yang bagus supaya anak-anak mendengar cakap.

"Didik anak-anak perempuan ini seawal mungkin atau sebelum mereka berakal dengan kisah teladan, kisah isteri-isteri Nabi dan sirah Rasulullah SAW. Bukan bila dah besar dah berlaku kesilapan, barulah nak nasihat anak," katanya.

Millah yang sudah lebih 40 tahun dalam bidang pendidikan agama, bimbingan kerohanian dan kemasyarakatan di Felda Chemplak, Segamat, Johor bagaimanapun berpandangan, ibu bapa juga mesti memainkan peranan sebaik mungkin khususnya dalam mendidik anak perempuan.

Pada pemerhatian beliau, segelintir ibu bapa terlalu ego, merasakan diri sentiasa betul sehingga membuatkan anak-anak berjauh hati.

"Sebenarnya dalam Islam, tak salah pun untuk meminta maaf tak kiralah ibu bapa atau anak-anak supaya masing-masing tidak berbalah.

"Inilah antara penyumbang kepada masyarakat zaman kini, khususnya wanita berasa jauh hati, emosi tak kuat, jiwa rapuh sehingga sukar menghadapi cabaran hidup," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!