MTL: 50 cerun berisiko di Perak dalam radar pemantauan

Persediaan menghadapi MTL turut melibatkan pemantauan keadaan jalan raya, longkang, pembetung dan sistem saliran bagi memastikan semuanya berfungsi dengan baik ketika hujan lebat.
Persediaan menghadapi MTL turut melibatkan pemantauan keadaan jalan raya, longkang, pembetung dan sistem saliran bagi memastikan semuanya berfungsi dengan baik ketika hujan lebat.
A
A
A

IPOH - Sebanyak 50 cerun berisiko di Perak dikenal pasti Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berterusan sehingga suku pertama tahun depan.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 42 cerun telah selesai menjalani kerja-kerja pemulihan, manakala lapan lagi masih dalam pemantauan.

"Cerun yang telah dipulihkan itu melibatkan 13 di daerah Hulu Perak, 12 di Batang Padang, sembilan di Kinta, lima di Larut Matang dan Selama serta tiga di Muallim.

"Selebihnya masih dalam pemantauan kerana berpotensi mengalami masalah sama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi Kesiapsiagaan MTL di Laluan Persekutuan FT001, Ipoh-Tanjung Malim di sini pada Rabu.

Mohammad Nizar (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi Kesiapsiagaan MTL di Laluan Persekutuan FT001, Ipoh-Tanjung Malim di Ipoh pada Rabu.
Mohammad Nizar (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi Kesiapsiagaan MTL di Laluan Persekutuan FT001, Ipoh-Tanjung Malim di Ipoh pada Rabu.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Pengurusan Fasiliti Kementerian Kerja Raya (KKR), Datin Dr Rafidah Dahari dan Timbalan Pengarah Kerja Raya Negeri Perak, Ir Farrid Jamaludin.

Mohammad Nizar berkata, kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan bagi kerja-kerja membaik pulih cerun yang mengalami kejadian tanah runtuh serta cerun yang dikenal pasti berpotensi mengalami ketidakstabilan.

Katanya, bagi tahun ini, Perak diperuntukkan RM38.95 juta untuk kerja-kerja pembaikan cerun runtuh, manakala RM24.96 juta lagi bagi penyenggaraan pencegahan cerun di beberapa daerah terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Pemantauan keadaan cerun perlu dilakukan secara berterusan bagi mengesan tanda-tanda ketidakstabilan seperti rekahan, pergerakan tanah dan hakisan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, persediaan menghadapi MTL turut melibatkan pemantauan keadaan jalan raya, longkang, pembetung dan sistem saliran bagi memastikan semuanya berfungsi dengan baik ketika hujan lebat.

Katanya, JKR bersama syarikat konsesi pula meningkatkan kekerapan pemeriksaan fizikal di laluan terlibat, termasuk melakukan pemantauan hampir setiap hari berbanding sekali seminggu sebelum ini.

"Apabila berlaku hujan lebat, mereka perlu turun membuat pemeriksaan bagi memastikan sebarang kerosakan atau risiko dapat dikenal pasti dan tindakan segera boleh diambil," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!