Sultan Perak berkenan terima zakat perniagaan RM15.69 juta

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM15,685,085.18 daripada 12 agensi korporat kepada Zakat Perak Al Ridzuan (Zapar) di Istana Perak, Changkat Persekutuan, Kuala Lumpur pada Selasa.
Sumbangan terbesar diserahkan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) yang menyumbangkan sebanyak RM5,981,444.38.
Ia diikuti oleh Plus Malaysia Berhad dengan nilai RM2.9 juta dan Bank Rakyat yang menyumbangkan RM1,438,579.
Agensi korporat lain yang turut menunaikan zakat perniagaan adalah Felcra Berhad (RM1,433,323.45), Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad dan Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad (RM1,110,000), serta Inspirapharma Sdn Bhd (RM780,000).
Turut menyumbang adalah Kumpulan FGV (RM655,907), Bank Pembangunan Malaysia Berhad (RM638,743), Metropolitan Utilities Corporation (RM324,798), Bank Simpanan Nasional (RM200,000), Hidro 2 Perak Sdn Bhd (RM122,290.35), dan Sun Life Malaysia Takaful Berhad (RM100,000).

Majlis turut menyaksikan baginda Sultan Perak berkenan menyampaikan kutipan zakat kepada Zapar yang diterima Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Syamsul Hazeman Md Salleh.
Majlis penyerahan turut disaksikan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin; Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda, Datuk Seri Mohamad Othman Zainal Azim dan Pengurus Besar Zapar, Ahmad Nazim Md Tajuri.
Zapar dalam satu kenyataan memaklumkan, penyerahan zakat perniagaan itu mencerminkan iltizam berterusan sektor korporat dalam menunaikan kewajipan berzakat selain memperkukuh peranan zakat sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan ummah.
"Dana zakat yang diterima ini mampu memberi manfaat berpanjangan kepada golongan asnaf, khususnya dalam meringankan beban kehidupan serta memperluas peluang untuk meningkatkan taraf hidup mereka di negeri Perak," kata kenyataan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

