Dulu merangkak baca Iqra', kini banduan wanita hafaz lima juzuk al-Quran

BATU GAJAH – Bermula dengan tidak mengenal huruf hijaiyah dan membaca al-Quran secara merangkak, seorang banduan wanita kini berjaya menghafaz sehingga memasuki juzuk kelima sepanjang menjalani hukuman di Pusat Koreksional Jabatan Penjara Malaysia Batu Gajah di sini.
Lebih membanggakan, wanita berusia 28 tahun yang dikenali sebagai Lyn itu memasang impian untuk menghafaz sebanyak mungkin juzuk al-Quran, malah menyasarkan sekurang-kurangnya 10 hingga 15 juzuk sebelum dibebaskan pada 2028.
Lyn berkata, perubahan besar dalam hidupnya bermula selepas mengikuti kelas pengajian al-Quran yang disediakan pihak pusat koreksional berkenaan meskipun sebelum ini dia tidak pernah khatam al-Quran sepanjang zaman persekolahannya.
Menurutnya, peluang berada di penjara membuka ruang untuk dirinya mendekati al-Quran, bermula dengan mengenal huruf, mempelajari Iqra' sebelum mampu membaca dan menghafaz ayat suci berkenaan.
"Alhamdulillah, saya tidak salahkan takdir kenapa berada di sini. Daripada tidak kenal huruf, belajar Iqra' secara merangkak, naik ke Juzuk Amma dan sekarang sudah boleh menghafaz al-Quran.
"Memang bukan senang untuk menghafaz al-Quran tetapi dengan sokongan ustazah dan kakitangan di sini, saya akhirnya berjaya sampai ke tahap ini," katanya ketika ditemui di Pusat Koreksional Jabatan Penjara Malaysia Batu Gajah pada Jumaat.
Lyn yang berasal dari Kuala Kangsar berkata, dia mula terjebak dalam kegiatan pengedaran dadah selepas bercerai ketika berusia 25 tahun selain berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan kerana memiliki kelulusan akademik yang rendah.
Ibu tunggal kepada lima anak itu mengakui keputusan mengambil jalan mudah untuk mendapatkan wang dibuat tanpa berfikir panjang sehingga membawa dirinya ke penjara.
Katanya, keinginan untuk berubah semakin kuat apabila mengenangkan arwah ibu bapa, lima anak serta ahli keluarga yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan walaupun dia pernah mengulangi kesalahan selepas mendapat pelepasan penjara sebelum ini.
"Saya fikir tentang mak ayah yang sudah tiada dan anak-anak. Saya tidak mahu apabila keluar nanti masih menjadi orang yang sama.
"Saya mahu menjadi insan berilmu dan memberikan yang terbaik untuk anak-anak serta kakak yang sentiasa menyokong saya," katanya.

Mengulas kaedah menghafaz, Lyn berkata, dia mengambil masa kira-kira sebulan atau lebih untuk menguasai satu juzuk bergantung kepada kemampuan dan tahap penguasaannya.
Katanya, teknik yang diajar tenaga pengajar ialah membaca ayat berulang kali sehingga lancar sebelum cuba mengingatinya tanpa melihat mushaf.
"Untuk satu ayat, saya perlu membacanya kira-kira 10 kali tanpa melihat sehingga betul-betul lancar sebelum beralih kepada ayat seterusnya.
"Biasanya saya akan ambil dua baris dahulu dan cuba menghafaznya tanpa melihat. Kalau konsisten, sehari saya boleh menghafaz satu muka surat," katanya.
Lyn berkata, dia turut mengikuti kelas tajwid, hadis dan taharah yang disediakan pihak pusat koreksional bagi memperkukuh pengetahuan agama serta memperbaiki dirinya.
Dalam pada itu, Lyn berkata, dia berharap dapat menghabiskan sebanyak mungkin juzuk al-Quran sepanjang baki tempoh hukuman, malah berhasrat meneruskan pengajian agama selepas dibebaskan.
Katanya, perkara pertama yang ingin dilakukannya apabila keluar dari penjara ialah bertemu lima anaknya dan ahli keluarga sebelum berkongsi ilmu al-Quran yang dipelajari sepanjang berada di situ.
"Anak-anak hanya tahu saya sedang belajar mengaji dan mereka selalu bertanya bila saya hendak balik.
"Saya mahu apabila keluar nanti, saya dapat berkongsi ilmu dengan mereka. Doakan saya dapat terus menghafaz al-Quran dan menjadi insan lebih baik," katanya.
Sebelum itu Lyn sempat memperdengarkan bacaan di hadapan tetamu jemputan sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Makanan Kepada Prospek Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak di pusat koreksional berkenaan.
Hadir menyempurnakan majlis, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

