Felda Women #QuranHour 2026 perkasa wanita dengan panduan al-Quran

KUALA LUMPUR – Felda dan Waqaf Felda dengan kerjasama Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) menganjurkan program Felda Women #QuranHour 2026 bagi memperkukuh ketahanan jiwa, emosi dan spiritual wanita menerusi panduan al-Quran.
Pengurus Bahagian Pembangunan Wakaf Waqaf Felda, Muhamad Aliff Md Yusoff berkata, pengisian program itu berteraskan dua surah utama iaitu Surah al-Muzzammil dan Surah al-Nisa'.
Menurut beliau, tema “Wanita Felda Bingkas: Panduan daripada Surah al-Muzzammil dan Surah al-Nisa'” membawa mesej bahawa kekuatan sebenar wanita bukan diukur melalui kesenangan yang dimiliki, sebaliknya melalui keupayaan untuk bangkit dan berpegang teguh kepada wahyu walaupun berdepan pelbagai ujian.
“Kita dapat melihat ketabahan wanita di Gaza yang terus mendidik generasi al-Quran, memelihara institusi keluarga dan mengekalkan harapan meskipun berdepan pelbagai kekurangan.
“Mereka menjadi simbol kekuatan wanita yang berakar daripada keimanan kepada ALLAH SWT.
“Pendekatan program ini bukan sekadar mengajak peserta membaca al-Quran, tetapi memahami, menghayati dan menterjemahkan mesej al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Wanita yang bingkas bukan hanya kuat menghadapi cabaran, tetapi mampu bangkit dengan panduan wahyu, membina kekuatan jiwa, mengurus ujian dengan lebih baik serta terus memberi manfaat kepada keluarga dan masyarakat,” katanya pada Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin; Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff dan Penaung Rumah Ngaji, Datin Seri Shamsida Taharin.
Perkenal Anugerah ‘Selimut Khadijah’
Felda Women #QuranHour 2026 turut memperkenalkan Anugerah Tokoh Wanita Felda “The Khadijah Blanket” atau “Selimut Khadijah” yang diinspirasikan daripada ketokohan Saidatina Khadijah RA.
Pengiktirafan tersebut mengambil inspirasi daripada peranan Saidatina Khadijah sebagai sumber ketenangan, perlindungan dan kekuatan buat Rasulullah SAW ketika menerima wahyu pertama.
Program diteruskan dengan Forum Kesihatan Mental bertajuk “Ujian Sebagai Hadiah” yang menampilkan Pakar Psikologi Organisasi, Dr Azizi Alias; penyanyi, Fynn Jamal; qari, Husaini Mahmur; manakala Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator.
Surah al-Muzzammil dan al-Nisa’ dipilih sebagai panduan
Mengulas pemilihan dua surah tersebut, Muhamad Aliff berkata, kedua-duanya memberikan dimensi yang menyeluruh dalam usaha memperkasa wanita.
Katanya, Surah al-Muzzammil menekankan pembinaan kekuatan rohani dan disiplin diri, manakala Surah al-Nisa' memberi panduan berkaitan tanggungjawab terhadap keluarga, masyarakat dan hubungan sesama manusia.
“Gabungan kedua-dua surah ini diangkat sebagai asas dalam membentuk wanita Felda yang bingkas, mempunyai kekuatan dalaman, mampu menghadapi ujian dan terus memainkan peranan positif dalam keluarga serta komuniti.
“Felda Women #QuranHour juga diharapkan menjadi platform yang menghubungkan penghayatan al-Quran dengan isu semasa wanita, khususnya berkaitan kesihatan mental, kekuatan emosi dan keupayaan mengurus kehidupan dalam persekitaran yang semakin mencabar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

