Women #QuranHour 2026 platform perkukuh spiritual wanita Felda

KUALA LUMPUR - Penganjuran sulung Women #QuranHour 2026 di peringkat Felda mampu menjadi platform penting bagi memperkukuh penghayatan spiritual di samping membudayakan pembacaan dan tadabbur al-Quran dalam kalangan wanita.
Ketua Pegawai Eksekutif Waqaf Felda, Hisyam Ahmad berkata, kerjasama pihaknya dengan Karangkraf dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) membuka ruang untuk wanita membina ketahanan diri, teguh mempertahankan prinsip serta berupaya membina kehidupan meskipun ditimpa ujian.
Beliau berpendapat bahawa acara sedemikian boleh diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai usaha pemantapan ilmu buat komuniti wanita Felda.
"Apa yang Waqaf Felda buat adalah sempena penganjuran program besar Gema Waqaf, bertujuan menguar-uarkan tentang aktiviti kami.
"Pada asalnya kami menerima tawaran untuk bekerjasama dengan Karangkraf, antara ideanya ialah Women #QuranHour belum pernah dibuat di peringkat Felda. Jadi, inilah fungsi kami untuk mengetengahkan program keagamaan dan Alhamdulillah ia berjaya dilaksanakan hari ini.
"Diharapkan acara seumpama ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak program agama lain juga, insya-ALLAH," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas program Felda Women #QuranHour 2026 bertempat di Menara Felda di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin; Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff; Penaung Rumah Ngaji, Datin Seri Shamsida Taharin dan Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman.
Program bertemakan 'Wanita Felda Bingkas' itu turut diselitkan dengan Forum Kesihatan Mental - Ujian Sebagai Hadiah yang menampilkan Pakar Psikologi Organisasi, Dr Azizi Alias; Penyanyi, Fynn Jamal; Qari, Husaini Mahmur dan Aiman Ridhwan serta Fazrul Ismail selaku moderator.
'Wanita Felda Bingkas' membawa mesej bahawa kekuatan sebenar seorang wanita bukan diukur melalui kesenangan dimilikinya, tetapi keupayaannya untuk terus bangkit, berpegang kepada wahyu dan meneruskan kehidupan walaupun berdepan cabaran yang berat.
Ketabahan wanita Gaza yang tetap mendidik generasi al-Quran, memelihara institusi keluarga dan mengekalkan harapan dalam serba kekurangan menjadi simbol kekuatan wanita yang berakar daripada keimanan kepada ALLAH SWT.
Selain itu, pengisian turut mengetengahkan Surah al-Nisa' dan Surah al-Muzzammil sebagai menepati tema Felda Women #QuranHour 2026.
Surah al-Nisa' ayat 34 hingga 36 memfokuskan pembentukan wanita bertauhid melalui karakter Qanitat (wanita yang taat), hafizot (wanita yang menjaga) dan salihat (wanita solehah).
Sementara Surah al-Muzzammil ayat 20 membawa wanita kepada pendekatan menghadapi keterbatasan dan cabaran kehidupan melalui solat, al-Quran, qiamullail, infak serta sedekah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
