1,200 wanita Kelantan berhimpun, perkasa diri dengan al-Quran

KOTA BHARU – Hampir 1,200 wanita berhimpun di Sidang Kemuncak Wanita Kelantan dan Wanita #QuranHour bagi memperkukuh jati diri, membina keluarga berteraskan al-Quran serta melahirkan masyarakat yang lebih penyayang dan berakhlak.
Pengarah program, Dr Sharifah Mastura Syed Mohamad berkata, penyertaan seramai itu menunjukkan komitmen wanita untuk mendalami penghayatan al-Quran menerusi pengisian tadabbur, forum dan perkongsian ilmu.
Menurut beliau, ia membawa mesej penting supaya wanita menjadi insan yang kental berlandaskan panduan al-Quran, khususnya menerusi Surah al-Muzammil serta an-Nisa.
"Pengisian ini diharapkan dapat menjadi peringatan dan petunjuk kepada kita untuk menjadi wanita yang kental, membina keluarga yang taat, masyarakat yang rahmah serta bangkit sebagai umat terbaik.
"Wanita bukan sahaja perlu memperkukuh diri sendiri, malah berperanan membentuk keluarga dan masyarakat yang menjadikan al-Quran sebagai panduan kehidupan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program yang berlangsung di Dewan Utama, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Kubang Kerian di sini pada Sabtu, dirasmikan oleh Tengku Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Noor Hayati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Program berkenaan juga turut menampilkan pentadabbur iaitu Fazrul Ismail daripada Pentadabbur My #QuranTime TV AlHijrah, Tokoh Qariah Antarabangsa, Datuk Faridah Mat Saman, Qari iaitu Pengasas Pusat Pengajian al-Quran Hilwan Madani, Mohammad Amir Kholis Lukman.
Serta forum perdana yang mengetengahkan tokoh istimewa iaitu seperti Presiden ApWCQP, Dr Fauziah Mohd Hasan, Pakar Psikiatri UniSZa, Prof Madya Dr Nor Asyikin Fadzil dan Penasihat Pertubuhan Mawaddah Malaysia, Maznah Daud serta moderator, Penolong Pengarah Yadim Kelantan, Nur Ayuni Mohd Norudin.
Ujar beliau, program Wanita #QuranHour diadakan setiap dua tahun dan penganjuran kali ini merupakan edisi kedua selepas dimulakan pada 2024.
Jelasnya, usaha memperluas mesej wanita kental berteraskan al-Quran turut digerakkan ke negeri lain menerusi kerjasama dengan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI).
Dr Sharifah Mastura memberitahu, inisiatif berkenaan sebelum ini bermula di Shah Alam pada Jun lalu sebelum Kelantan meneruskan gerakan itu menerusi penganjuran kali kedua di negeri ini.

Sementara itu, penerima Anugerah Tokoh Wanita Kental Peringkat Negeri Kelantan 2026, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff berkata, pengukuhan tauhid dan penghayatan al-Quran menjadi asas penting untuk seseorang terus tabah menghadapi ujian kehidupan.
Beliau yang tidak dapat hadir secara fizikal kerana sedang menerima rawatan di Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) selepas mengalami serangan jantung memberitahu, semangatnya tetap bersama wanita yang menyertai program berkenaan.
Ujarnya, usaha menghidupkan al-Quran perlu diteruskan melalui gerakan membaca, memahami dan mengamalkan kandungannya, termasuk dalam kehidupan seharian keluarga.
"Saya datang daripada keluarga yang berpecah, tetapi tauhid tidak membuat saya berpecah. Perjuangan kita semua adalah untuk membawa tauhid ke setiap rumah dan ke dalam hati setiap wanita.
"Apabila ALLAH ada di hati kita, walau sesusah mana kehidupan atau apa jua cabaran yang datang, kita tetap mampu berbakti kepada bangsa, agama dan negara," katanya menerusi rakaman ucapan.
Beliau turut mengajak wanita memainkan peranan dalam merealisasikan aspirasi Malaysia 100 tahun dengan memastikan lebih ramai masyarakat mampu membaca, memahami serta mengamalkan al-Quran.

Bagi peserta pula, Siti Naila Mohd Ali, 42, yang bertugas dalam unit media Masjid Al-Abrar Pauh Sembilan berkata, program itu memberi pendedahan mengenai peranan al-Quran dalam memperkasakan wanita, membimbing keluarga dan membentuk masyarakat.
Menurutnya, penghayatan al-Quran bukan sekadar meningkatkan kefahaman agama, malah membantu ibu bapa mendidik anak-anak dengan nilai murni supaya rumah menjadi tempat lahirnya generasi yang mencintai kitab suci itu.
"Wanita yang kuat bukanlah wanita yang tidak pernah lemah atau diuji, tetapi wanita yang sentiasa kembali kepada ALLAH, menjadikan al-Quran sebagai panduan dan bangkit dengan iman untuk menguatkan orang di sekeliling," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

