Amir Raja Lawak masih bergantung alat bantuan pernafasan

KOTA BHARU - Pelawak, Mohammad Amirullah Azmi, 37, atau lebih dikenali dengan nama 'Amir Raja Lawak' belum ditidurkan sebagaimana yang ditularkan di media sosial sejak Selasa.
Pembantu peribadinya, Muhammad Faris Che Ali berkata, keadaan Amir kini stabil namun perlu bergantung kepada alat bantuan pernafasan selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kira-kira jam 11.30 malam tadi.
"Amir mempunyai penyakit asma sejak kecil dan keadaan cuaca sejuk memburukkan lagi keadaan kesihatannya, kebetulan pula dia sudah beberapa hari demam.
"Malah keadaannya semakin teruk sehinggakan perlu dimasukkan ke hospital pada Khamis lalu namun terpaksa menangguhkannya kerana mempunyai komitmen kerja sebagai pengacara majlis di Terengganu," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Terdahulu media melaporkan pada Selasa, pelawak, Amir Raja Lawak dimasukkan ke hospital akibat jangkitan paru-paru.
Perkara tersebut dikongsikan pelakon, Lando Zawawi menerusi hantaran terbaharu di Facebook beliau.
Menurut dia, sebaik sahaja selesai tugasan di sana, Amir terus dimasukkan ke hospital pada Jumaat untuk mendapatkan rawatan berhubung masalah pada paru-parunya.
Ujarnya, setakat hari ini (Rabu) keadaannya stabil dan Amir sendiri tidak mahu masalah kesihatan dia dihebohkan.
Muhammad Faris memberitahu, oleh kerana berita tentang Amir telah tular di media sosial, dia berharap tiada pihak mengambil kesempatan menyebarkan cerita yang tidak benar.
"Kepada peminat serta orang ramai diharap dapat mendoakan agar Amir cepat sembuh," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

