Ibu maut cuba selamatkan dua anak dihanyutkan kepala air

SUNGAI SIPUT - Seorang wanita maut selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba menyelamatkan dua anak perempuannya yang terjatuh ke dalam sungai dalam kejadian kepala air di Sungai Jalong Tinggi, Kampung Landap di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa bersama suami dan dua anak perempuan berusia tujuh serta sembilan tahun sedang mandi-manda di sungai berkenaan bersama tujuh lagi ahli keluarga.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Charan Ai Wan berkata, kejadian berlaku apabila kedua-dua kanak-kanak itu terjatuh ke dalam sungai sebelum dihanyutkan arus deras.
Menurutnya, ibu bapa kanak-kanak berkenaan kemudian cuba menyelamatkan anak mereka, namun gagal sebelum kesemua mereka turut dihanyutkan arus.
"Kedua-dua kanak-kanak dan bapa mereka berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung Orang Asli, namun ibu mereka gagal diselamatkan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Beliau berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dihubungi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Katanya, sekitar jam 6.50 petang, mangsa ditemukan penduduk kampung di tebing sungai dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang tiba di lokasi kejadian," katanya.
Charan turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan aktiviti rekreasi seperti perkhemahan dan berkelah di kawasan air terjun atau tepi sungai, khususnya ketika musim tengkujuh dan hujan tidak menentu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 5.41 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput tiba di lokasi kejadian pada jam 6 petang, kira-kira 19 kilometer dari balai.
"Ketua operasi yang melakukan penilaian awal mendapati terdapat laluan darat yang boleh digunakan kenderaan untuk ke lokasi mangsa berada.
"Anggota kemudian menggunakan kenderaan utiliti pacuan empat roda (Hilux) untuk sampai ke tebing seberang sungai," katanya.
Operasi menyelamat itu melibatkan kekuatan 10 anggota dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Hilux, sebuah bot dan sebuah kenderaan utiliti Kembara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

