Perihal harga kuih di bazar Ramadan

DALAM sehari dua umat Islam di Malaysia menjalani ibadah berpuasa, media sosial riuh dengan kemeriahan dan suasana di bazar-bazar Ramadan.
Nampaknya, bazar Ramadan yang terletak di Sungai Petani, Kedah bukan lagi yang terpanjang dan gelaran itu sudah 'dirampas' Bazar Ramadan Santai Bandar Tasik Puteri (BTP).
BTP yang terletak di Rawang, Selangor itu tampil dengan deretan lebih 300 gerai sepanjang melebihi satu kilometer dan menjual pelbagai jenis juadah.
Pada hari pertama ia beroperasi, hujan turun dengan lebat pada sebelah petang menyebabkan beberapa khemah terbalik, namun keadaan pulih semula dan peniaga dapat beroperasi seperti biasa.
Itu kisah bazar terpanjang, namun yang menarik perhatian ialah tentang harga makanan yang dijual di beberapa bazar Ramadan tempat lain.
Ada pembeli melaporkan mereka membeli empat biji karipap pada harga RM10. Ini bererti sebiji karipap berharga RM2.50.
Ia tular di media sosial bagaimanapun, saya tidak dapat melihat saiz sebenar karipap tersebut.
Dalam perniagaan sering kali disebut sebagai tambah nilai. Karipap yang dijual pada saiz lebih besar dengan inti yang unik sudah tentu harganya berbeza.
Tetapi kalau hendak dibandingkan dengan karipap dijual di IKEA, makanan itu cuma berharga RM1.40 sebiji atau RM7.80 untuk enam biji.
Antara karipap lain yang popular ialah di Petronas NKVE dijual pada harga RM1.20 sahaja, namun pada saiz yang strandard dijual di mana-mana kedai atau gerai.
Dari perihal harga, belum masuk lagi rungutan karipap cuma ada inti sejemput atau popular dengan gelaran karipap oksigen.
Saya tanya ChatGPT kos sebenar untuk hasilkan sebiji karipap dan jawapan yang diberikan bergantung kepada saiz, jenis inti dan harga bahan mentah semasa.
Namun, anggaran kos berdasarkan karipap kentang biasa bersaiz standard antara 35 gram (g) hingga 40g ialah 33 sen sahaja.
Tetapi kita juga kena ingat dengan kos pengangkutan, gas memasak, sewa kedai dan gaji pekerja juga perlu diambil kira.
Sebab itulah di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 (Akta 723), peniaga yang disiasat perlu mengemukakan bukti dan kos perniagaan mereka kepada pihak berkuasa.
Jadi, pihak berkuasa boleh menentukan sama ada peniaga terbabit mengenakan harga yang munasabah atau tidak.
Kita tidak mahu terus berbahas tentang harga karipap yang sepatutnya dijual, tetapi mesej paling penting ialah terserah kepada pembeli untuk guna kuasa mereka sebagai pengguna.
Kalau ia berbaloi untuk keluarkan RM10 daripada poket anda untuk membeli apa juga makanan, maka ia adalah hak anda.
Memang sudah lumrah dalam bulan Ramadan ada peniaga bermusim dan mengambil kesempatan berniaga.
Jadi mereka mungkin cuba mendapatkan keuntungan maksima mungkin. Kalau boleh dua atau tiga kali ganda lebih tinggi.
Namun bagi peniaga sebenar, mereka tahu dan sedar tentang kemahuan pelanggan mereka dan peniaga juga hendak berniaga untuk jangka masa yang panjang.
Mereka tahu kalau jual mahal, pelanggan akan lari dan beli di tempat lain yang menawarkan harga lebih murah.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
