Lindung peniaga atau pengguna?

KELMARIN, Persatuan Peruncit Bumiputera atau BRO mengeluarkan kenyataan mengenai kebimbangan mereka tentang gelombang kemasukan jenama makanan dan minuman (F&B) asing.
Jelas kenyataan itu, kemunculan F&B asing itu telah menekan kelangsungan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bumiputera serta menyebabkan persaingan yang tidak seimbang.
Menurut BRO lagi, jenama asing telah menggunakan strategi pemasaran yang agresif dan platform digital.
Sehubungan itu, mereka menuntut agar ketelusan dalam promosi secara dalam talian dan kerajaan membuat semakan garis panduan pelaburan sekali gus memelihara perniagaan tempatan melalui proses inovasi serta kemahiran digital.
Sebenarnya bukan PKS bumiputera sahaja yang merasai kesan daripada kemunculan jenama asing tetapi turut melibatkan perniagaan daripada kaum lain di negara ini.
Situasi ini ibarat diluah mati mak tetapi jika ditelan mati bapa. Kerajaan sudah tentu mahu lebih banyak pelaburan baharu masuk ke negara ini dan merangsang ekonomi namun dalam masa yang sama perlu melindungi perniagaan tempatan.
Dalam masa yang sama, kerajaan perlu lebih adil kepada dua-dua pihak dan juga mahu industri PKS tempatan terus berdaya saing serta tidak pasif.
Difahamkan kerajaan kini sedang membuat Semakan Garis Panduan 2020 untuk mengawal penyertaan entiti asing dalam perdagangan pengedaran bagi pelindungan PKS tempatan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dijangka memuktamadkan pindaan Akta Perdagangan Elektronik 2006 untuk menangani isu e-dagang, dan ia bakal dibawa ke sidang Dewan Rakyat.
Semoga ini dapat membantu memberikan nafas baharu kepada PKS tempatan untuk bangkit dan bersaing dengan hebat dengan jenama-jenama asing.
Namun dari kaca mata pengguna pula, kita amat berharap agar entiti perniagaan tempatan untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan dan produk yang berkualiti tinggi, dalam masa yang sama ia juga mestilah pada harga yang rendah.
Sebagai contoh, baru-baru ini saya membeli kopi dari sebuah jenama dari China yang kini ditakuti oleh jenama-jenama lain kerana mereka menjual pada harga yang murah.
Saya dapati kedai yang dibuat dalam pasar raya besar di Cheras itu hanya menggunakan seorang pekerja sahaja dan pesanan dibuat menerusi aplikasi. Model perniagaan ini menyebabkan tidak banyak tenaga kerja diperlukan dan mengurangkan kos.
Beberapa tahun yang lalu, saya menulis tentang betapa hebatnya persaingan menjual produk makanan berasaskan ayam goreng. Lihat di sekeliling kita boleh dikatakan segalanya adalah tentang ayam.
Ini kerana ayam merupakan makanan yang bukan sahaja sedap malah murah dan boleh memberikan keuntungan kepada peniaga.
Macam-macam jenama muncul tetapi pada akhirnya hanya benar-benar bagus sahaja yang akan dapat bertahan lama.
Mahu tidak mahu, peniaga tempatan kena hadapi realiti bahawa mereka perlu berusaha lebih keras supaya menjadi lebih baik daripada pesaing lain atau terkubur begitu sahaja.
Dasar untuk memberikan perlindungan kepada PKS tempatan memang wajar dilakukan tetapi dalam masa yang sama mereka juga tidak boleh selesa dengan keadaan tersebut.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
