Realiti sebenar kasta dalam pendidikan

SAYA tertarik dengan perbahasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Dewan Rakyat mengenai cadangan membenarkan kanak-kanak berusia enam tahun memasuki Tahun 1 secara pilihan.
Jelas beliau, cadangan itu akan mewujudkan sistem kasta dalam sekolah rendah kerana sistem kemasukan yang tidak seragam akan membezakan murid sejak awal usia.
Menurut Syed Saddiq, sebahagian murid akan dilabel sebagai pandai manakala yang lain dianggap lambat atau gagal, hanya kerana tidak melepasi ujian diagnostik yang dicadangkan.
Perkataan kasta pendidikan yang digunakan agak menarik. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kasta ialah golongan dalam masyarakat Hindu yang bertingkat-tingkat iaitu Brahman, Kesateria, Waisya dan Sudra. Kasta Brahman adalah yang paling tinggi dalam kedudukan masyarakat tersebut dan Sudra pula adalah yang paling rendah.
Jadi dalam konteks yang dibangkitkan itu, bakal ada golongan pelajar yang berjaya pada masa depan dan akan ada yang tertinggal di belakang.
Kita semua tahu bahawa realitinya tidak begitu kerana perjalanan hidup seseorang pelajar itu panjang, malah ada banyak bukti ramai yang berjaya walaupun pada awalnya tidak cemerlang.
Malah pelajar yang dalam kalangan orang kelainan upaya juga mampu berjaya, asalkan mereka mahu benar-benar berusaha.
Persoalannya jika cadangan itu benar-benar menyebabkan berlakunya kasta pendidikan, bukankah selama ini, peperiksaan dan penilaian dibuat untuk menentukan kedudukan pelajar itu sama ada cemerlang atau tidak sudah lama dilakukan ?
Contohnya kemasukan ke sekolah-sekolah tertentu yang menjadi idaman ibu bapa dan pelajar memerlukan ujian dilakukan sebelum diterima masuk.
Kemasukan institusi pendidikan berprestij itu terhad menyebabkan pelajar yang ingin memohon terpaksa bersaing hebat untuk dapat tempat.
Dunia pendidikan kecoh
Dunia pendidikan memang ada banyak ‘stakeholders’ atau pemegang taruh. Disebabkan itulah sebarang cadangan akan menimbulkan banyak perbezaan pendapat.
Satu ketika dulu kecoh mahu pendidikan diubah supaya tidak berorientasikan peperiksaan semata-mata dan menjadikan pelajar sebagai robot.
Kemudian selepas dihapuskan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), kecoh pula supaya dikembalikan peperiksaan tersebut.
Pada dasarnya apa sahaja yang dapat menaikkan tahap atau kualiti pendidikan negara itu perlu disokong, namun kerajaan dan kementerian perlulah menjelaskan kepada rakyat tentang rancangan yang hendak dibuat.
Namun tanpa penjelasan yang rapi menyebabkan sesuatu dasar yang bagus itu tenggelam kerana rakyat keliru dengan apa yang hendak dilaksanakan.
Dengan anggaran seramai 450,000 kemasukan pelajar baharu untuk Darjah Satu pada setiap tahun, bagaimana agaknya kerajaan hendak menyediakan fasiliti dan bilangan guru yang mencukupi?
Jadi kerajaan ada tempoh kurang 12 bulan lagi untuk buat persediaan yang rapi dan mencukupi apabila cadangan itu hendak dilaksanakan pada 2027.
Namun sementara itu, rakyat boleh terus menyatakan kegusaran masing-masing dan kita pasti kerajaan akan berusaha dengan sedaya upaya membuat penjelasan bagi memadamkan kebimbangan yang dibangkitkan.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
