Kita perlu lemon law segera

Dengan undang-undang yang ada pada ketika ini, nasib pembeli kenderaan tidak dapat dibela sepenuhnya.
Dengan undang-undang yang ada pada ketika ini, nasib pembeli kenderaan tidak dapat dibela sepenuhnya.
A
A
A

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat banyak jenama dan model kenderaan dari luar negara membanjiri pasaran tempatan.

Jenama dan model ini satu ketika dahulu tidak berapa digemari ramai atas faktor kualiti, namun kini ia sudah banyak berbeza.

Ramai yang tertarik untuk membeli kerana pengeluar menawarkan kenderaan yang lebih canggih dan reka bentuk yang cantik tetapi pada harga yang mampu milik.

Ia menyebabkan jenama dan model tersebut kini boleh dilihat dengan jumlah yang banyak atas jalan raya dan menunjukkan terdapat keyakinan oleh pembeli.

Bagaimanapun, bukan semua pembeli bernasib baik kerana ada yang berhadapan dengan pelbagai masalah sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan kecewa.

Dengan undang-undang yang ada pada ketika ini, nasib pembeli kenderaan tidak dapat dibela sepenuhnya. Jika bernasib baik, pihak penjual kenderaan akan ambil tanggung jawab.

Jika penjual lepas tangan, pembeli terpaksa mengambil tindakan di mahkamah sivil yang memerlukan kos yang tinggi.

Disebabkan itulah kita amat memerlukan satu undang-undang yang mampu melindungi hak pengguna dan pembeli kenderaan di negara ini dengan segera.

Di sinilah pentingnya undang-undang lemon yang melindungi pengguna apabila kenderaan yang dibeli mempunyai kecacatan serius serta gagal dibaiki berulang kali kerana tidak memenuhi piawaian kualiti atau prestasi seperti yang dijanjikan oleh pengilang atau pembekal.

Artikel Berkaitan:

Namun dalam sistem perundangan lemon, pembeli boleh menuntut untuk pembaikan lanjut, penggantian barangan, pengurangan harga atau menuntut bayaran balik harga pembelian jika masalah tidak dapat diselesaikan.

Secara tradisinya, dasar ini wujud untuk mengurangkan ketidakadilan kepada pengguna yang 'terperangkap' dengan barangan rosak tanpa penyelesaian yang jelas.

Dengan adanya undang-undang lemon, ia akan dapat meningkatkan keyakinan pasaran dan boleh merangsang keyakinan pengguna terhadap pembelian barang seperti kenderaan.

Pada masa ini, Malaysia belum lagi mempunyai satu perundangan lemon yang formal namun ia terdapat dalam bentuk undang-undang berasingan.

Akta sedia ada yang berkaitan ialah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (CPA), Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Beli 1967.

Walau bagaimanapun, kerajaan telah bergerak aktif dalam perancangan dan pembangunan cadangan mewujudkan undang-undang lemon.

Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji untuk memperkenalkan lemon law supaya pengguna boleh menuntut hak seperti bayaran balik, penggantian atau pembaikan bagi barangan rosak yang gagal dibaiki.

Kajian melibatkan pakar perundangan dan sesi libat urus berkaitan dilaksanakan untuk merangka kerangka yang sesuai.

Kerajaan juga menjalankan langkah interim seperti memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) berbentuk sokongan untuk membantu pengguna sebelum undang-undang lemon rasmi digubal.

Malah dalam Belanjawan 2026, kerajaan mengumumkan akan meminda Akta Perlindungan Pengguna 1999 untuk memasukkan elemen lemon law sebagai sebahagian daripada perlindungan pengguna yang dipertingkatkan.

Ini bermakna Malaysia menuju kepada perlaksanaan lemon law secara rasmi.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!