Dulu janji Melayu, sekarang kena sidai

"Tun Nila ni sampai ke tak, dah hampir sejam menunggu. Call tak berjawab, WhatsApp pun tak baca," keluh Shah. Rancangan pada hari tersebut untuk ride makan durian ke Ulu Cheka, Jerantut. Kawan-kawan lain yang sudah lama sampai mula resah, tapi batang hidung Tun Nila masih tak nampak.
Janji jam 9 pagi berkumpul di Petronas Setia Alam tapi jam 10 pagi masih tak muncul. Sudahnya jam 10.30 pagi baru sampai dengan muka yang langsung tak rasa bersalah. Kejadian ini hanya imiginasi saja, tak ada kaitan dengan hidup atau mati.
Saya yakin ramai yang pernah berhadapan dengan situasi meresahkan seperti ini. Dahulu kita sering dengar ungkapan ‘janji Melayu’. Sekarang popular dengan 'kena sidai'. Kononnya on the way tapi sebenarnya baru bangun dari tidur.
Pelik bukan, kenapa Melayu dikaitkan dengan perbuatan memungkiri janji? Budaya sidai orang bukan sekadar masalah etika tapi sebenarnya cerminan akhlak, pengurusan masa dan disiplin yang rosak.
Saya pernah atur janji dengan orang politik. Beliau bersetuju bertemu am 2 petang di pejabatnya di Putrajaya. Saya sampai jam 1.30 petang kerana tidak mahu membuat beliau menunggu tetapi akhirnya kena sidai selama tiga jam. Jam 5 petang baru beliau sampai.
Memang panas hati dibuatnya. Banyak masa yang terbuang. Begitu juga ketika membawa emak saya janji temu di sebuah hospital baru-baru ini. Janji temu sepatutnya jam 8 pagi, tetapi jam 10 pagi pun nama masih belum dipanggil. Bukankah membuang masa?
Sikap tidak menepati masa bukan isu kecil. Ia memberi kesan kepada produktiviti ekonomi, kecekapan pengurusan dan reputasi profesional.
Apabila seseorang berjanji pada waktu dan tarikh ditetapkan, hendaklah ditunaikan walau apapun halangan. Menepati masa sebenarnya soal integriti. Janji ialah amanah dan masa ialah tanggungjawab.
Kita patut contohi orang Jepun dari segi disiplin masa. Orang Jepun terkenal dengan disiplin masa yang ekstrem, di mana tepat waktu dianggap sebagai standard minimum. Konsep meiwaku (menyusahkan orang lain) menjadikan orang Jepun sangat menjaga masa.
Budaya ini berakar daripada rasa hormat, tanggungjawab dan nilai shitsuke (didikan) sejak kecil. Saya bukan mahu membandingkan budaya orang Jepun dengan kita, tetapi mereka adalah contoh zaman moden yang patut kita ikut, selain sunah Rasulullah.
Islam amat menitikberatkan disiplin dan masa kerana ia cerminan takwa, iman dan tanggungjawab. Solat lima waktu mendidik umatnya menepati waktu, tertib serta mengurus kehidupan dengan teratur.
Solat perlu tepat pada waktu, jangan lengah-lengah. Tapi ramai yang suka solat hujung-hujung waktu dengan macam-macam alasan. Urusan solat pun nak kena sidai!
Sudah tiba masanya kita berhenti anggap budaya sidai orang sebagai perkara biasa. Hentikan juga persepsi buruk dengan ungkapan janji Melayu. Jika kita benar-benar mahu menjadi masyarakat yang berdisiplin perubahan mesti bermula dengan perkara paling asas iaitu hadir tepat waktu.
Jangan biarkan orang yang anda janji tertunggu-tunggu. Dalam hal ini, saya suka dengan sikap sahabat saya Jalil Backer. Datang lewat memang tidak ada dalam kamus hidup beliau. Dia seboleh-bolehnya akan sampai dulu, malah awal 30 minit daripada waktu yang dijanjikan.
Kalau dia datang lewat, memang something wrong. Janji makan tengah hari di Nasi Kandar Saddam jam 12 tengah hari, jam 11.30 pagi dia sudah ada. Ini baru janji Melayu, tak perlu nak sidai!
*Azmi Tarmizi ialah anak jati Felda Soeharto yang pernah menjadi SU Akhbar Perdana Menteri dan kini bertugas sebagai Editor Eksekutif di Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

