Antara sifar sokongan dan keselamatan

Masalah pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan sudah berlarutan terlalu lama. Gambar fail
Masalah pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan sudah berlarutan terlalu lama. Gambar fail
A
A
A

RAMAI marah selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor mengeluarkan beberapa langkah kepada pemilik tanah sekiranya berlaku pencerobohan dan pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan.

Pemilik tanah perlu buat laporan polis, selepas itu mereka kena serahkan notis kepada penceroboh.

Mereka juga perlu maklum kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan kemudian Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) akan main peranan.

JKD akan bertindak sebagai pengantara dengan memanggil semua pihak berkepentingan termasuk pemilik tanah, pemilik rumah ibadat, PDRM dan PBT bagi mencari penyelesaian munasabah.

Jika semua proses ini gagal, pemilik tanah perlu membawa sendiri kes tersebut ke mahkamah untuk menuntut hak mereka semula.

Ini bererti pemilik tanah perlu mengeluarkan duit poket mereka sendiri untuk mengambil khidmat peguam dan memfailkan kes ke mahkamah.

Pemilik tanah juga mungkin perlu menunggu sehingga proses mahkamah selesai dan ini bererti masa dan tenaga juga habis begitu sahaja untuk melawan pihak yang menceroboh.

Hujah orang ramai ialah begitu mudah penceroboh mengambil hak pemilik tanah tetapi untuk mendapatkan kembali kepunyaan mereka teramat sukar.

Sementara pemilik tanah pula kena lakukan pelbagai cara sebelum dapat ambil semula tanah mereka.

Artikel Berkaitan:

Mesej utama dalam kenyataan yang dikeluarkan MKN Negeri Selangor itu ialah tentang terdapat kegusaran terhadap ketegangan dan kemungkinan rusuhan berlaku.

Memang kita perlu elak daripada perkara ini berlaku dan tidak ingin insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ, November 2018 berulang sehingga mengorbankan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ini merupakan sejarah pahit yang terus kekal terpahat dalam ingatan kita semua dan beri kesan besar kepada banyak pihak.

Masalah pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan sudah berlarutan terlalu lama.

Kesukaran untuk mengambil tindakan ada kaitan dengan kebimbangan pemerintah hilang sokongan politik.

Jadi ambillah peluang untuk selesaikan segera masalah ini. Sampai bila kita berterusan berhadapan dengan situasi sukar ini walaupun sebenarnya ia mudah jika pihak berkuasa bertindak tegas dan pemerintah tidak takut hilang sokongan.

Jadi, kerajaan negeri kena buat penjelasan lagi tentang langkah yang diambil dan dedahkan berapa banyak kes seperti ini berlaku di Selangor.

Mungkin ada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan yang sanggup membantu pemilik sehingga kes tersebut selesai tanpa menggunakan sebarang unsur yang tidak menjejaskan keselamatan atau ketegangan.

Walaupun pada masa ini sudah ada beberapa aktivis yang memulakan langkah sendiri membantu pemilik tanah, namun mereka juga perlu patuh kepada undang-undang dan tidak melakukan tindakan semberono atau sesuka hati.

Sementara itu pihak yang menyokong pencerobohan pula kena terima hakikat bahawa mereka tiada hak langsung terhadap tanah diduduki.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!