James suka nasi lemak, kuetiau goreng

James (empat dari kiri) mengadakan kunjungan rasmi ke Kompleks Karangkraf pada Rabu.
James (empat dari kiri) mengadakan kunjungan rasmi ke Kompleks Karangkraf pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM – Jurucakap rasmi Kedutaan Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, James Butler Dewey mengakui nasi lemak, kuetiau goreng dan milo ais merupakan antara juadah yang paling digemarinya sejak hampir setahun menetap di negara ini.

Bagi James, menyelami keunikan sejarah, keindahan semula jadi flora dan fauna serta kepelbagaian budaya di Malaysia adalah satu kewajipan baginya.

Justeru, beliau menjemput rakyat AS untuk datang ke Malaysia bagi merasai sendiri pengalaman bercuti di negara yang kaya dengan seni budaya, variasi makanan serta adat tradisi masyarakat berbilang kaum.

Pihaknya turut menyeru rakyat AS supaya menjadikan Malaysia sebagai destinasi percutian pilihan utama, lebih-lebih lagi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Berdasarkan pengalaman peribadinya sewaktu mengadakan lawatan ke Pulau Langkawi, Kedah; Kuching, Sarawak dan Pulau Pinang, James berkata, dirinya tertarik dengan kebaikan dan keramahan penduduk tempatan dalam menyantuni pelancong luar.

James (tengah) disambut oleh Hussamuddin (kiri) dan Farah (dua dari kanan).
James (tengah) disambut oleh Hussamuddin (kiri) dan Farah (dua dari kanan).

"Bukan sahaja tempatnya cantik dan menarik, orang-orangnya pun baik hati serta sangat ramah dengan pelancong. Makanannya juga sedap-sedap!

"Ada banyak makanan kegemaran saya, antaranya sudah tentu nasi lemak. Minuman pula milo ais! Semasa bercuti ke Pulau Pinang bersama keluarga, saya suka kuetiau goreng dan turut mencuba beberapa makanan lain yang dicadangkan oleh rakan-rakan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, saya berharap rakyat AS dapat menimba pengalaman menakjubkan, dan saya jamin ia memberi momen yang tidak dapat dilupakan apabila berada di Malaysia," katanya kepada Sinar Harian ketika mengadakan kunjungan rasmi ke Kompleks Karangkraf di sini pada Rabu.

Kehadiran delegasi Kedutaan AS ke Malaysia itu disambut mesra oleh Pengasas Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin; Ketua Komunikasi Korporat Karangkraf, Nik Justin Nik Ariffin dan Pengarang Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa.

Tambah James, beliau turut memasang impian untuk menawan Gunung Kinabalu dan bercuti ke Pulau Perhentian, Terengganu selepas ini.

Ditanya mengenai kebolehannya berkomunikasi dalam bahasa Melayu, James memaklumkan bahawa beliau mengambil masa kurang dari setahun untuk bertutur dan membaca dengan baik, hasil bimbingan seorang guru asal Malaysia yang menetap di AS.

Kata beliau, ia adalah bentuk persediaan untuk berkomunikasi dengan lebih baik bersama delegasi kehormat dan rakyat Malaysia apabila dilantik sebagai jurucakap rasmi negaranya.

“Saya tiba di Malaysia sekitar Jun tahun lalu, sebelum Setiausaha Negara AS, Marco Rubio tiba di sini dan Presiden AS, Donald Trump pula pada Oktober. Ia merupakan momen yang sangat penting buat AS.

“Sebelum itu, saya belajar bahasa Melayu di AS dengan guru dari Malaysia. Tidaklah terlalu fasih, tetapi saya masih dalam proses pembelajaran.

“Setiap hari saya belajar dan menulis perkataan baharu di ruang kerja. Secara peribadi, jika saya boleh faham bahasa Melayu, saya percaya saya juga dapat memahami budaya, sejarah, politik dan landskap ekonomi Malaysia dengan lebih mendalam,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • James Butler Dewey, jurucakap rasmi Kedutaan Amerika Syarikat ke Malaysia gemar akan nasi lemak, kuetiau goreng dan milo ais
  • Beliau merasakan mengenal keunikkan sejarah, keindahan semulajadi serta kepelbagaian budaya Malaysia adalah penting
  • Mengajak rakyat Amerika untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama percutian menarik minatnya dengan seni budaya dan makanan
  • Menyatakan kebaikan dan keramahan penduduk Malaysia terhadap pelancong mempengaruhi pengalaman positifnya semasa lawatan
  • James mempelajari Bahasa Melayu dalam kurang dari setahun untuk berkomunikasi lebih baik di Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!