Himpunan GARAH: 19 individu ditahan, dua disiasat

KUALA LUMPUR - Seramai 19 individu ditahan termasuk dua yang akan direman bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang cuba dianjurkan di hadapan Kompleks Membeli Belah Sogo, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tangkapan dibuat susulan perhimpunan ad hoc yang berlaku walaupun pihak polis tidak membenarkan penganjurannya atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam.
Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 15 lelaki dan empat wanita tempatan berusia antara 30 hingga 64 tahun ditahan ketika perhimpunan berlangsung pada Sabtu.
"Daripada tangkapan tersebut, dua individu disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Manakala 17 individu lain ditahan di bawah Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah sebagai langkah pencegahan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Ahad.
Beliau berkata, pihak polis sebelum ini menerima pemakluman penganjuran perhimpunan daripada pihak penganjur sebelum sesi libat urus dijalankan.
"Hasil risikan, pemantauan dan siasatan mendapati perhimpunan tersebut berpotensi menjejaskan keselamatan awam.
"Polis juga menerima sebanyak 131 laporan daripada pelbagai pihak termasuk premis sekitar lokasi yang mendakwa wujud ancaman berkaitan perhimpunan tersebut,” katanya.
Tambah beliau, tindakan penahanan dibuat bagi mengelakkan situasi menjadi lebih buruk atau berlakunya jenayah lain yang tidak diingini.
Dalam perkembangan berasingan, polis turut menahan tiga lelaki di Klang Utara yang dipercayai mempunyai kaitan dengan isu sama.
Menurut Fadil, ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan direman bagi membantu siasatan di bawah Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan.
Beliau menegaskan tindakan diambil tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang.
"Keutamaan kita adalah keselamatan dan ketenteraman awam yang melibatkan semua lapisan masyarakat.
"Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menyentuh isu melibatkan kaum, agama dan institusi diraja (3R),” katanya.
Media sebelum ini melaporkan penyelaras himpunan terbabit iaitu Zamri Vinoth bersama beberapa individu difahamkan ditahan berhampiran Kompleks Membeli Belah Sogo pada Sabtu.
Difahamkan individu itu ditahan sebelum himpunan yang dijadualkan berlangsung kira-kira jam 8 malam di lokasi terbabit dijalankan.
Terdahulu, polis memaklumkan pihaknya tidak membenarkan penganjuran perhimpunan GARAH yang dijadualkan diadakan di hadapan Kompleks Membeli Belah Sogo atas faktor keselamatan awam.
Ringkasan AI
- Seramai 19 individu ditahan berhubung perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram yang diadakan di Kuala Lumpur
- Tangkapan dibuat walaupun pihak polis tidak membenarkan penganjuran atas faktor keselamatan
- Dua individu disiasat di bawah Akta Hasutan dan undang-undang lain, 17 lain ditahan sebagai langkah pencegahan
- Polis menerima 131 laporan mengenai ancaman keselamatan berkaitan perhimpunan
- Tindakan penahanan dan siasatan dilakukan tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang untuk menjamin keselamatan awam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

