Rafizi dakwa siasatan SPRM terhadapnya bermotif intimidasi, desak Azam Baki digantung segera

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya berhubung dua dasar utama kerajaan adalah satu bentuk intimidasi, susulan pendiriannya yang lantang menuntut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki digantung tugas.
Menurut beliau, tuduhan salah laku dan rasuah itu berkisar kepada Program Visi Silikon serta Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR), kedua-duanya dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas melalui proses kelulusan kerajaan termasuk di peringkat jawatankuasa, Kabinet dan Jemaah Menteri.
Rafizi berkata, laporan terhadapnya dibuat oleh pertubuhan yang didakwanya anti Perdana Menteri iaitu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), selain individu perseorangan.
Beliau menjelaskan, NETR dilancarkan pada Ogos 2023 manakala Visi Silikon dengan ARM pada Mac 2025, dan sepanjang pelaksanaannya tidak timbul sebarang kontroversi atau laporan salah laku.
“Sehinggalah minggu lepas apabila saya lantang menuntut Tan Sri Azam Baki digantung dan satu siasatan bebas dijalankan berikutan pendedahan Bloomberg mengenai dakwaan penyelewengan di SPRM,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, rundingan kerjasama dengan Arm Holdings melalui Program Visi Silikon dibuat secara berperingkat, bermula dengan rundingan awal Kementerian Ekonomi dan ARM sebelum dibawa ke jawatankuasa rentas kementerian membabitkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan MITI.
Jelasnya, rundingan itu turut disertai Menteri MITI ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, selain pegawai kanan kementerian.
Beliau berkata, rundingan juga diadakan antara Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif ARM, Renee Hass serta pemegang saham terbesar ARM, Masayoshi San dari Softbank, sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebanyak tiga kali dan diluluskan.
Menurutnya, Kementerian Ekonomi hanya berperanan merancang dasar dan tidak mempunyai kuasa mengendalikan perolehan atau kontrak, manakala kerjasama itu ditandatangani oleh MIDA di bawah MITI, dengan pembayaran diproses MIDA dan diluluskan Kementerian Kewangan.
Draf perjanjian, tegasnya, turut disemak dan diluluskan Jabatan Peguam Negara sebelum mendapat kelulusan Kabinet.
Rafizi turut menegaskan sehingga kini tiada bukti menunjukkan berlaku kebocoran dana awam, tiada bukti wang diterima atau dimasukkan ke akaunnya.
Beliau turut menyifatkan tuduhan kononnya perjanjian dibuat tergesa-gesa sebagai tidak munasabah kerana ia dipengerusikan Perdana Menteri dan diluluskan Jemaah Menteri.
Berhubung NETR, Rafizi menjelaskan pelan itu adalah dasar peralihan tenaga menjelang 2050 dan tidak melibatkan perolehan kerajaan atau dana awam bagi pembinaan projek.
Ujarnya, salah satu dasar penting ialah membenarkan syarikat swasta membangunkan projek tenaga boleh baharu untuk membekalkan terus tenaga hijau kepada industri tanpa melalui Tenaga Nasional Berhad.
Beliau merujuk projek oleh UEM Lestra, anak syarikat UEM milik Khazanah, yang mengumumkan pelaburan RM2.5 bilion bagi membangunkan projek tenaga boleh baharu berkapasiti 750MW di Segamat.
Menurut laporan media, projek itu diusahakan melalui usaha sama dengan I-Squared Capital dari Amerika Syarikat dan jualan tenaga dimuktamadkan dengan ESR Group Limited berpangkalan di Hong Kong.
Rafizi menegaskan keputusan komersial syarikat swasta itu tidak ada kena mengena dengan Kementerian Ekonomi atau kerajaan, apatah lagi melibatkan perolehan awam.
Beliau turut mendakwa wujud serangan terancang termasuk oleh pempengaruh media sosial, Ariz Ramli atau Caprice, yang menuduhnya menganugerahkan projek kepada syarikat yang dikaitkan dengannya.
Rafizi berkata, beliau akan membentangkan fakta lanjut dalam podcast YBM pada 20 Februari ini dan memberi peluang kepada Caprice menyiarkan fakta berkenaan serta memohon maaf.
Jika gagal, tegasnya, tindakan saman akan dimulakan.
Rafizi mendakwa siasatan terhadapnya menunjukkan risiko salah guna kuasa apabila individu yang sedang dipersoalkan integritinya terus memegang jawatan.
Beliau berkata, keadaan itu membuka ruang kepada risiko salah guna kuasa apabila SPRM dijadikan senjata untuk menyerang pihak-pihak yang mempersoalkan Azam, seperti mana siasatan terhadap Suruhanjaya Sekuriti pada 2021 dan siasatan terhadap beliau pada 2026 yang menurutnya berlaku ketika integriti Ketua Pesuruhjaya SPRM itu dipersoalkan.
Sehubungan itu, Rafizi menegaskan tindakan sewajarnya ialah menggantung tugas Azam serta-merta, seperti yang sepatutnya dilakukan oleh Perdana Menteri sejak minggu lalu, sementara satu siasatan bebas dijalankan.
Ringkasan AI
- Rafizi Ramli mendakwa siasatan SPRM terhadapnya adalah intimidasi susulan tuntutan Ketua Pesuruhjaya SPRM digantung tugas
- Tuduhan salah laku berkisar pada Program Visi Silikon dan Pelan Peralihan Tenaga Negara yang diluluskan oleh kerajaan
- Laporan terhadap Rafizi dibuat oleh pertubuhan yang anti Perdana Menteri serta individu perseorangan
- Tiada bukti kebocoran dana awam atau wang dimasukkan ke akaun Rafizi sepanjang pelaksanaan NETR dan Visi Silikon
- Rafizi mendakwa wujud serangan terancang terhadapnya dan akan mengambil tindakan saman jika pemfitnahan tidak dihentikan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

