Isu penyelewengan pelaburan RM1.11 bilion, Rafizi bakal diserbu SPRM?

AMPANG - Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melakukan satu serbuan ke atasnya susulan laporan berhubung penyelewengan melibatkan pelaburan berjumlah RM1.11 bilion.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, maklumat mengenai serbuan berkenaan dimaklumkan oleh satu sumber dalaman SPRM kepadanya pada pagi Jumaat.
Rafizi bagaimanapun menegaskan, beliau bersedia untuk sekali lagi melalui pengalaman intimidasi daripada pihak berkuasa ekoran tindakannya membangkitkan isu penyelewengan melibatkan SPRM seperti dilaporkan media antarabangsa, Bloomberg.
“Saya hendak sampaikan kepada (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar (Ibrahim) dan (Ketua Pesuruhjaya SPRM) Tan Sri Azam Baki, saya ini veteran dalam bab kena tangkap dan masuk lokap, kena serbu, geledah. Jadi saya bersedia melalui semuanya ini sekali lagi.
“Saya bersedia melalui semuanya sekali lagi kerana taktik intimidasi dan mencipta kes seperti ini telah dibuat oleh pentadbiran-pentadbiran sebelum ini tapi akhirnya kebenaran akan tetap terserlah selain rakyat akan buat penghakiman,” katanya.
Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata demikian pada sidang media khas berkaitan laporan penyelewengan membabitkan SPRM seperti dilaporkan Bloomberg di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.
Pada Khamis, tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilapor membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan seorang bekas menteri di sebuah kementerian.
Ia membabitkan perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat luar negara yang didakwa membabitkan nilai hampir RM1.1 bilion dan dimeterai pada awal tahun lalu.
Laporan itu dibuat secara bersama oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Angkatan Nadi Jiwa Islam Malaysia (Panji Malaysia) di Ibu Pejabat SPRM.
Laporan itu kemudian diulang ciap oleh Rafizi di laman sosial X miliknya dengan mendedahkan bahawa ia berkaitan syarikat reka bentuk semikonduktor berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings yang didakwa memberi sogokan kepadanya.
Dalam ciapan itu, beliau turut menyatakan kesediaannya untuk disiasat oleh SPRM dan menyamakan tindakan itu dengan salah satu francais filem ternama Star Wars iaitu Empire Strikes Back.
“Koreklah semua. Makan tengah hari atau cenderahati pun aku tak dapat apatah lagi komisyen. Masih miskin macam sebelum ini, tak ada saham berjuta-juta,” katanya di laman sosial tersebut.
Sementara itu, ditanya sama ada beliau telah dihubungi SPRM, Rafizi berkata, sehingga kini beliau masih belum dihubungi oleh suruhanjaya tersebut untuk sebarang tindakan termasuklah merakam keterangannya.
“Kalau dia (SPRM) hendak tangkap, tangkaplah, geledahlah. Kalau saya ada sesuatu untuk disembunyikan kenapa saya letak jawatan (daripada kerajaan).
"Saya dah letak jawatan hampir 10 bulan dan sampai sekarang tak ada apa-apa. Saya juga pernah jalani 16 kes, jadi apa yang saya boleh katakan kepada SPRM adalah ‘do your worst’,” katanya.
Rafizi memberitahu, ‘harga’ yang perlu dibayar atas prinsip dipegangnya amat berbaloi apatah lagi ia dibuat atas kepentingan rakyat.
“Jika perlu melalui sekali lagi dengan pengalaman masa lalu seperti masa kes 1 Development Malaysia Berhad (1MDB), Felda dan Lembaga Tabung Haji. Setakat masuk lokap dua, tiga hari, kena gari, semua berbaloi kerana perkara-perkara ini penting untuk rakyat.
“Jadi kalau berani, cuba buat. Saya juga hendak ingatkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau juga yang pernah melaungkan sendiri sebelum ini bahawa rakyat adalah hakim negara. Akhirnya ia akan sampai juga kepada rakyat. Hanya tunggu masa sahaja,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan SPRM akan melakukan serbuan ke atasnya berhubung penyelewengan melibatkan pelaburan RM1.11 bilion
- Maklumat serbuan diberitahu oleh sumber dalaman SPRM kepadanya
- Rafizi menyatakan kesediaannya menghadapi intimidasi dan tindakan berkuasa ekoran laporan penyelewengan itu
- Laporan kepada SPRM dibuat oleh tiga NGO berhubung salah guna kuasa bekas menteri melibatkan syarikat luar negara
- Rafizi mengulang ciapan tentang kesediaannya disiasat dan menyamakan situasi dengan Star Wars, menegaskan tiada apa untuk disembunyikan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

