Lagi laporan terhadap bekas menteri kanan

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat dakwaan penglibatan bekas menteri kanan dalam projek tenaga boleh baharu di bawah inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Individu perseorangan, Mohd Zaidi Amin berkata, beberapa media pada tahun 2021 dan 2023 melaporkan penglibatan syarikat tertentu dalam projek tenaga hijau berskala besar.
Dakwanya, bekas menteri terbabit telah melancarkan NETR yang memperkenalkan beberapa projek pemangkin berskala besar dan laporan media turut menyebut penglibatan beberapa syarikat dalam projek solar hibrid berskala besar yang dikaitkan dengan dasar peralihan tenaga negara.
"Berdasarkan carian rasmi di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bertarikh 13 Julai 2019, menunjukkan bekas menteri itu merupakan salah seorang pemegang saham utama syarikat terbabit," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir membuat laporan dan menyerahkan dokumen berkaitan di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Isnin.
Ujarnya, SPRM juga dituntut untuk menyiasat sama ada terdapat unsur salah guna kuasa, pengaruh atau rasuah mahupun pemberian projek secara terus kepada mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan peribadi.
Mohd Zaidi berkata, tindakannya dibuat atas dasar kepentingan awam serta prinsip ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus negara.
"Ia bukan untuk mensabitkan mana-mana pihak, sebaliknya memastikan satu siasatan profesional, bebas dan menyeluruh dapat dijalankan oleh pihak berkuasa demi memelihara integriti kerajaan serta keyakinan rakyat.
"Saya percaya ketelusan tadbir urus yang baik serta pengurusan konflik kepentingan yang jelas adalah asas penting dalam memastikan kejayaan agenda peralihan tenaga negara dan mengelakkan sebarang persepsi negatif terhadap pentadbiran kerajaan," tegas beliau.
Jumaat lalu, tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi menggesa satu siasatan dijalankan terhadap menteri sama berkaitan perjanjian Kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing membabitkan dana hampir RM1.1 bilion.
Ringkasan AI
- SPRM digesa menyiasat bekas menteri kanan penglibatan dalam projek tenaga boleh baharu
- Bekas menteri adalah pemegang saham utama syarikat terlibat dalam projek solar hibrid
- Laporan dibuat untuk siasatan ke atas salah guna kuasa, pengaruh atau rasuah
- Mohd Zaidi membuat laporan atas dasar kepentingan awam dan ketelusan tadbir urus
- Tiga NGO juga telah menggesa siasatan terhadap menteri sama berkaitan perjanjian Kerajaan Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

