SPRM siasat perjanjian RM1.1 bilion kerajaan dengan syarikat asing

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung perjanjian bernilai RM1.1 bilion antara kerajaan dengan sebuah syarikat asing.
Ia susulan beberapa aduan yang dibuat oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan berhubung perjanjian yang dikatakan dibuat secara tergesa-gesa dan berat sebelah sehingga dijangka memberikan kesan kepada Kerajaan.
Menurut sumber, berdasarkan aduan dan dokumen yang diserahkan oleh beberapa pihak, SPRM juga telah mendapatkan beberapa dokumen berkaitan perjanjian ini pada 13 Februari 2026 yang lalu dari Kementerian Ekonomi.
"Kes ini berkaitan dengan isu ketirisan dana kerajaan dengan melibatkan peruntukan yang besar iaitu RM1.1 bilion.
"Berdasarkan maklumat awal, cadangan ini dikatakan tidak mendapat persetujuan daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Indusri (MITI), namun perjanjian ini dimeterai secara tergesa-gesa. Perkara ini akan disahkan menerusi keterangan saksi-saksi utama terlibat," katanya.
"Dalam masa yang sama, beberapa individu dikatakan telah diberikan jawatan yang tinggi di dalam syarikat tersebut selepas berhenti dari kementerian terbabit. Ini juga persoalan conflict of interest dan wajar diberikan perhatian.
"Tindakan lanjut adalah memanggil beberapa saksi termasuk Ketua Setiausaha Kementerian bagi mendengar penjelasan berhubung perlaksanaan perjanjian ini," katanya.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.
Ringkasan AI
- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membuka siasatan perjanjian RM1.1 bilion dengan syarikat asing
- Adanya aduan dari pertubuhan bukan kerajaan tentang perjanjian tergesa-gesa dan berat sebelah
- SPRM mendapat dokumen berkaitan dari Kementerian Ekonomi pada 13 Februari 2026
- Perjanjian tidak mendapat persetujuan dari Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
- Individu tertentu diberikan jawatan tinggi di syarikat tersebut selepas berhenti dari kementerian, timbul isu konflik kepentingan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
