'Jika Azam Baki tidak digantung, kami akan turun lagi' - Rafizi

Rafizi Ramli - Foto: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Rafizi Ramli - Foto: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki tidak sepatutnya terus memegang jawatan berikutan kontroversi pemilikan saham yang didedahkan sebelum ini.

Beliau berkata, himpunan yang berlangsung di ibu negara pada Ahad hanyalah untuk menguji reaksi kerajaan terhadap isu terbabit dan sekiranya kerajaan masih enggan menggantung Azam Baki serta melaksanakan siasatan bebas, protes akan diteruskan.

“Kalau kerajaan masih lagi tak mahu menggantung Azam dan tidak mahu adakan satu siasatan yang bebas dan telus, maka kita tidak ada pilihan lain kecuali untuk turun berkali-kali sehingga Azam turun,” ujarnya ketika berucap pada Himpunan dan Lawan: #TangkapAzamBaki di hadapan Kompleks Sogo di sini pada Ahad.

Himpunan yang bermula kira-kira jam 4.30 petang itu dihadiri orang ramai yang mula memenuhi kawasan sekitar sejak awal petang.

Turut kelihatan hadir ialah Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahari Hassan dan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.

Dalam pada itu, Rafizi turut menolak cabaran Azam Baki untuk membuat laporan polis berhubung pendedahan Bloomberg mengenai pemilikan saham tersebut dengan alasan akhirnya SPRM sendiri yang akan menjalankan siasatan.

“Kalau kita buat laporan, akhirnya siapa yang akan siasat? Azam akan siasat Azam sahaja,” jelasnya.

Himpunan tersebut diadakan bagi menyatakan pendirian berhubung isu melibatkan Azam Baki, dengan kehadiran anggota polis untuk memantau keadaan dan perjalanan himpunan yang terkawal dari mula sehingga ia ditamatkan.

Terdahulu, menurut laporan Bloomberg, Azam Baki memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, bersamaan 1.7 peratus, berdasarkan penyata tahunan syarikat yang difailkan pada 3 Februari tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Laporan itu turut menyebut nama Azam tersenarai dalam daftar pemegang saham yang diselenggara oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Azam Baki didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang mengehadkan pemilikan saham penjawat awam dalam syarikat diperbadankan di Malaysia kepada tidak melebihi lima peratus modal berbayar atau bernilai RM100,000, mengikut mana yang lebih rendah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan transaksi berkenaan telah diisytiharkan dan saham tersebut telah dilupuskan pada tahun lalu.

Dalam masa yang sama, Azam Baki juga telah memfailkan saman fitnah berjumlah RM100 juta terhadap Bloomberg berhubung laporan berkenaan.

Ringkasan AI

  • Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki melepaskan jawatan atas kontroversi pemilikan saham
  • Rafizi menyatakan protes akan berterusan jika kerajaan tidak menggantung Azam Baki dan menjalankan siasatan bebas
  • Himpunan di Kuala Lumpur dihadiri oleh ramai orang termasuk beberapa Ahli Parlimen
  • Rafizi menolak membuat laporan polis mengenai saham Azam dengan alasan SPRM yang akan menyiasat kes tersebut
  • Azam Baki didakwa melanggar pekeliling kerajaan tentang pemilikan saham dan telah memfailkan saman fitnah terhadap Bloomberg

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!