Kerajaan teliti pelesenan aplikasi AI bendung penyebaran CSAM - Fahmi

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang meneliti kajian penguatkuasaan aplikasi kecerdasan buatan (AI) melalui pelesenan bagi membendung penyebaran bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ketika ini belum ada akta tertentu untuk mengawal selia aplikasi AI dan ia tidak dilesenkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
"Kita serahkan kepada Kementerian Digital untuk menggubal akta tertentu bagi mengawal selia penggunaan aplikasi AI, namun lazimnya pihak MCMC yang akan melesenkan.
"Kita sedang meneliti termasuk sekiranya perlu ada dapatan atau saranan daripada badan-badan penguatkuasaan untuk dilesenkan aplikasi-aplikasi AI, maka kita akan teliti untuk ambil tindakan sewajarnya," katanya pada sidang media selepas melancarkan sambutan Hari Internet Selamat 2026 anjuran MCMC pada Sabtu.
Sebelum ini, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dilapor mendedahkan sekurang-kurangnya 1.2 juta golongan muda menyatakan gambar mereka telah dimanipulasi menjadi 'deepfake' secara seksual tahun lalu.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan menjelaskan, kerajaan mempunyai kuasa untuk melesenkan, namun masih mengkaji keperluannya.
"Ketika ini untuk AI, kesalahan adalah kepada penghantaran dan penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian bagi hantaran jelik melampau.
"Kita ada kuasa (pelesenan) tetapi belum berhasrat menggunakannya," ujarnya.
Ringkasan AI
- Kerajaan sedang meneliti kajian penguatkuasaan aplikasi kecerdasan buatan melalui pelesenan untuk membendung penyebaran bahan penderaan seksual kanak-kanak
- Belum ada akta tertentu untuk mengawal selia aplikasi AI dan ia tidak dilesenkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
- Kementerian Digital diamanahkan untuk menggubal akta penggunaan aplikasi AI, dengan pelesenan biasanya dilakukan oleh MCMC
- Kerajaan akan meneliti saranan daripada badan penguatkuasaan untuk pelesenan aplikasi AI
- UNICEF melaporkan sekurang-kurangnya 1.2 juta golongan muda menyatakan gambar mereka telah dimanipulasi menjadi 'deepfake' secara seksual tahun lalu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

