Karangkraf Ramadan Bookfest: Pertandingan tulis jawi kukuh penguasaan kanak-kanak

SHAH ALAM – Usaha memperkukuh penguasaan tulisan jawi dalam kalangan murid sekolah rendah terus diperkasakan menerusi penganjuran pertandingan menulis jawi sempena Karangkraf Ramadan Bookfest, pada Ahad.
Eksekutif Pemasaran Buku Karangkraf, Afifa Naqiah Johari berkata, pertandingan itu menerima sambutan menggalakkan daripada ibu bapa meskipun penyertaan dihadkan kepada 15 peserta berusia enam hingga 12 tahun.
Menurut Afifa Naqiah, pihaknya turut memperkenalkan buku Smart Jawi karya Nor Dalisa Amin Nuddin yang lebih dikenali sebagai Tcer Lysa bagi menggalakkan murid menguasai penulisan jawi.
“Buku ini disusun mengikut silibus Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan memberi ruang latihan tambahan kepada murid untuk mengenali serta menguasai tulisan dan bacaan jawi.

“Menguasai jawi memerlukan latihan berterusan seperti mata pelajaran arus perdana lain di sekolah dan Smart Jawi berbentuk nota serta latihan tulisan yang merangkumi keseluruhan keperluan itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya lagi, latihan secara konsisten melalui pendekatan santai seperti pertandingan mampu meningkatkan minat murid terhadap pembelajaran jawi tanpa memberi tekanan akademik.
“Inisiatif ini dapat memartabatkan tulisan jawi, khususnya dalam kalangan generasi Alfa agar tidak terus leka dengan gajet,” ujarnya.
Sempena Karangkraf Ramadan Bookfest, Afifa Naqiah berkata, buku Smart Jawi turut ditawarkan dalam promosi kombo khas pada harga RM30 bagi dua buku berbanding harga asal RM22 bagi buku nota dan RM17 bagi buku latihan menulis.

Pada pertandingan itu, Abdullah Fateh Abu Hassan, 12, muncul sebagai pemenang tempat pertama, manakala tempat kedua dimenangi Muhammad Hakim Iman Mohd Hisyamuddin, 11, dan Wan Nur Balqis Wan Azni, 10, menduduki tempat ketiga.
Sementara itu, Penolong Pengurus, Wan Azdi Wan Omar, 46, berkata penganjuran program tersebut memberi sokongan kepada pembelajaran anaknya, Wan Nur Balqis, 10, di luar waktu persekolahan.
“Program seperti ini membantu mengukuhkan pemahaman anak selain apa yang dipelajari di sekolah serta memberi pendedahan tambahan kepadanya.
“Oleh kerana pertandingan ini berbentuk ‘walk-in’ dan penyertaan terhad, saya bergerak awal dari Putrajaya. Program ini juga memberi peluang kepada saya meninjau buku-buku yang disediakan di festival ini,” katanya.
Suri rumah, Noor Sakinah Md Yusof, 38, berkata, penganjuran pertandingan menulis jawi memberi peluang kepada anak-anak mempraktikkan kemahiran penulisan secara lebih tersusun.

“Program seperti ini membantu meningkatkan keyakinan dan menggilap kemahiran anak saya, Muhammad Hakim Iman Mohd Hisyamuddin, 11, dan Nur Sumayyah Iman, 8.
“Mereka teruja kerana ini kali pertama menyertai pertandingan penulisan jawi. Penganjuran aktiviti pendidikan santai seperti ini wajar diteruskan,” katanya.
Karangkraf Ramadan Bookfest yang berlangsung di Kompleks Karangkraf, Seksyen 15, di sini menyediakan pelbagai aktiviti menarik serta pilihan al-Quran dengan lebih 40 variasi, termasuk al-Quran tajwid berwarna, terjemahan perkata, per juzuk dan terjemahan bahasa Inggeris bagi memenuhi keperluan pelbagai peringkat.
Festival yang melabuhkan tirainya pada Ahad itu turut menawarkan pelbagai barangan keperluan ibadah seperti telekung, sejadah, sejadah mini dan kurma, menjadikannya sesuai dikunjungi seisi keluarga.
Potongan harga sehingga 25 peratus turut ditawarkan bagi pembelian buku dan al-Quran, selain pakej istimewa al-Quran bersama rehal sebagai persediaan Ramadan.
Ringkasan AI
- Usaha memperkukuh penguasaan tulisan jawi diperkasakan melalui pertandingan menulis jawi di Karangkraf Ramadan Bookfest
- Pertandingan menulis jawi mendapat sambutan menggalakkan dari ibu bapa, terhad kepada 15 peserta berusia enam hingga 12 tahun
- Buku Smart Jawi diperkenalkan untuk menggalakkan murid menguasai tulisan jawi, disusun mengikut silibus Kementerian Pendidikan Malaysia
- Latihan secara konsisten dan pendekatan santai seperti pertandingan meningkatkan minat murid terhadap pembelajaran jawi tanpa tekanan akademik
- Inisiatif ini bertujuan memartabatkan tulisan jawi dalam kalangan generasi Alfa agar tidak terus leka dengan gajet
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
