Mydin tawar harga bawah pasaran, bantu B40 sambut Ramadan dan Aidilfitri - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (empat dari kanan) bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (tiga dari kiri) dan Ameer Ali (tiga dari kanan) bergambar bersama penerima kotak SARA Rahmah. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ahmad Zahid (empat dari kanan) bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (tiga dari kiri) dan Ameer Ali (tiga dari kanan) bergambar bersama penerima kotak SARA Rahmah. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SUBANG JAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memuji peranan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) yang sentiasa konsisten membantu rakyat menerusi penawaran harga barangan keperluan harian di bawah paras harga pasaran sekali gus meringankan beban golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, usaha itu amat signifikan terutama menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri apabila kos sara hidup semakin meningkat sekali gus memberi kesan kepada kumpulan B40 dan juga M40.

"Saya ingin menghargai apa yang dilakukan oleh Mydin dalam penjualan barangan runcit dan keperluan harian kerana harga ditawarkan pada hemat saya di bawah harga pasaran dan ini cukup baik untuk membantu kumpulan B40," katanya ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Mega Rahmah Ramadan dan Kasih Syawal di Mydin USJ di sini pada Ahad.

Ahmad Zahid (tengah) sambil diperhatikan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (kiri) Ameer Ali (kanan) melancarkan Mega Rahmah Ramadan dan Kasih Syawal di Mydin USJ Ahad. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ahmad Zahid (tengah) sambil diperhatikan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (kiri) Ameer Ali (kanan) melancarkan Mega Rahmah Ramadan dan Kasih Syawal di Mydin USJ Ahad. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Ahmad Zahid turut menyifatkan Menu Rahmah yang ditawarkan sebagai mencukupi dari segi nutrisi selain harganya yang sangat rendah dan mampu dibeli oleh rakyat.

Menurut beliau, sikap peniaga yang tidak terlalu mementingkan keuntungan semata-mata, sebaliknya menawarkan harga munasabah demi keberkatan wajar dicontohi oleh usahawan lain di semua peringkat.

"Paling penting bukan hanya keuntungan, tetapi keuntungan yang munasabah dan lebih utama ialah barakah.

"Saya yakin usahawan lain di peringkat bawahan juga boleh mengikut contoh yang ditunjukkan oleh Mydin," tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Mydin sebagai sebuah konglomerat besar turut memberi sokongan padu kepada pelbagai inisiatif kerajaan Madani dan kerajaan terdahulu tanpa mengira siapa yang memerintah.

"Sesiapa pun yang menjadi kerajaan pada hari ini, Mydin sentiasa berada di belakang kerajaan. Ini menunjukkan komitmen dan kesetiaan terhadap agenda membantu rakyat," katanya.

Ahmad Zahid (empat dari kiri) sambil diperhatikan Ameer Ali (tiga dari kiri) mengagihkan bubur lambuk pada Majlis Pelancaran Mega Rahmah Ramadan dan Kasih Syawal di Mydin USJ pada Ahad. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ahmad Zahid (empat dari kiri) sambil diperhatikan Ameer Ali (tiga dari kiri) mengagihkan bubur lambuk pada Majlis Pelancaran Mega Rahmah Ramadan dan Kasih Syawal di Mydin USJ pada Ahad. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin serta seluruh warga kerja syarikat itu kerana keprihatinan mereka dalam mengurangkan beban perbelanjaan harian rakyat.

Katanya, inisiatif yang dilaksanakan bukan sahaja menumpukan keuntungan, malah mengambil kira kemampuan rakyat berpendapatan rendah serta keluarga besar dalam kalangan M40.

Semasa dalam ucapan beliau pada majlis itu, Ahmad Zahid memaklumkan, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM600 juta bagi pelaksanaan inisiatif Payung Rahmah termasuk Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) yang melibatkan 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 40 lokasi di Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, program itu merangkumi kira-kira 23,000 siri penganjuran jualan di seluruh negara dengan penglibatan pasar raya besar, pasar raya dan rangkaian pasar mini.

"Saya melihat persaingan harga dalam negara kini berada pada tahap yang sihat. Namun, setakat ini tiada pasar raya atau pasar mini yang menawarkan harga serendah Mydin," katanya.

Beliau berharap lebih banyak pemain industri runcit dapat bersama-sama menjayakan inisiatif kerajaan demi memastikan barangan keperluan asas kekal mampu milik dan dekat di hati rakyat.

Ahmad Zahid beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Pelancaran Mega Rahmah Ramadan dan Kasih Syawal di Mydin USJ pada Ahad. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ahmad Zahid beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Pelancaran Mega Rahmah Ramadan dan Kasih Syawal di Mydin USJ pada Ahad. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Sementara itu, Ameer Ali berkata, Mydin menawarkan promosi dan diskaun melebihi RM10 juta menerusi Kempen Megah Rahmah Ramadan dan Kasih Raya sebagai usaha membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata, kempen itu bukan sekadar pelancaran jualan, sebaliknya menjadi peringatan kepada nilai murni seperti kasih sayang, kebersamaan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat.

"Hari ini kita berhimpun bukan hanya untuk melancarkan kempen, tetapi untuk mengingatkan diri tentang nilai-nilai murni yang menjadi tunjang kehidupan masyarakat,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan komitmen Mydin untuk terus menyokong produk tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (IKS), selain membantu mengumpul dana kebajikan menerusi penjualan produk jenama terlibat.

"Mydin turut menawarkan pelbagai promosi menjelang Aidilfitri termasuk baju raya dan baju kurung serendah RM30, selain kerjasama dengan rakan perbankan digital bagi memberikan penjimatan tambahan kepada pelanggan," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Timbalan Perdana Menteri memuji Mydin kerana membantu rakyat dengan menawarkan harga barangan di bawah pasaran
  • Usaha Mydin signifikan menjelang Ramadan dan Hari Raya untuk meringankan beban B40 dan M40
  • Menu Rahmah Mydin dinilai memadai nutrisi dan harganya sangat rendah
  • Mydin dianggap contoh usahawan lain dalam menawarkan harga munasabah demi keberkatan
  • Mydin memberi sokongan padu kepada pelbagai inisiatif kerajaan dan menunjukkan komitmen terhadap agenda membantu rakyat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!