Harga makanan import perlu turun seiring pengukuhan ringgit - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Pelancaran Mega Rahmah Ramadan dan Kasih Syawal di Mydin USJ pada Ahad. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Pelancaran Mega Rahmah Ramadan dan Kasih Syawal di Mydin USJ pada Ahad. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SUBANG JAYA - Pengukuhan nilai ringgit ketika ini seharusnya diterjemahkan kepada penurunan harga barangan import khususnya makanan bagi memberi kelegaan kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan kadar pertukaran mata wang semasa, harga produk import wajar diselaraskan dan tidak lagi dijual pada harga tinggi seperti sebelum ini.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan golongan B40 dapat memperoleh keperluan harian pada harga lebih berpatutan.

"Saya fikir secara perbandingan produk import terutamanya makanan harganya harus diturunkan berdasarkan kadar pertukaran mata wang.

"Inilah usaha kita untuk memastikan golongan B40 mendapat harga yang berpatutan bagi keperluan mereka," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Mega Rahmah Ramadan dan Kasih Syawal di Mydin USJ di sini pada Ahad.

Ahmad Zahid menegaskan, peniaga tidak mempunyai alasan untuk terus mengekalkan harga lama memandangkan kadar pertukaran kini bertambah baik susulan kestabilan ekonomi negara.

"Apabila kadar pertukaran naik, penjual cepat menaikkan harga, tetapi sekarang kadar pertukaran kita sudah bertambah baik, maka barangan itu mesti diberi harga yang memberi manfaat kepada pengguna,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta semua peniaga menurunkan harga selaras dengan keadaan semasa sambil mengingatkan tindakan tegas akan diambil sekiranya gagal berbuat demikian.

"Jika harga tidak dikurangkan walaupun kadar pertukaran telah berubah, KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) akan mengambil tindakan," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, katanya, keluaran industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan akan menjadi keutamaan untuk diedarkan kepada mangsa banjir semasa musim Monsun Timur Laut akan datang.

"Saya telah mengarahkan agar barangan yang akan diedarkan ketika Monsun Timur Laut nanti adalah barangan IKS yang akan dikoordinasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sendiri," ujar beliau.

Terdahulu, semasa ucapan beliau dalam program itu, Ahmad Zahid bersetuju produk tempatan diberikan keutamaan dan dibiayai melalui Nadma dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

"Kalau kita tidak membantu usahawan kecil dan tempatan khususnya pengeluar produk halal, siapa lagi?" soal beliau.

Ahmad Zahid turut memuji pencapaian produk halal keluaran Malaysia yang mendapat sambutan memberangsangkan di peringkat antarabangsa termasuk dalam kalangan negara bukan Islam.

Beliau berkata, produk tempatan berjaya mencatatkan jualan melebihi RM3 bilion dalam tempoh tiga hari hasil promosi dan pameran seperti Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) dan program pemasaran di Dubai dan Shanghai.

"Ini menunjukkan kepercayaan tinggi terhadap produk keluaran usahawan kita dan ia sangat membanggakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa usahawan mikro, kecil dan sederhana supaya mempelbagaikan jenis produk yang dihasilkan dan tidak hanya tertumpu kepada sektor makanan dan minuman.

"Tumpuan kita banyak kepada makanan dan minum sahaja, sebenarnya banyak lagi produk lain yang boleh kita pasarkan dan jadikan sandaran harapan," tambah beliau.

Ringkasan AI

  • Ringgit mengukuh seharusnya bawa penurunan harga barangan import
  • Timbalan Perdana Menteri mendesak penyesuaian harga untuk meringankan beban golongan B40
  • Kestabilan ekonomi meningkatkan nilai tukar ringgit, tiada alasan pengekalan harga lama
  • Peniaga diminta turunkan harga atau menghadapi tindakan dari KPDN
  • Produk tempatan dan IKS diberi keutamaan dalam pembekalan musim Monsun Timur Laut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!