Ubah suai nombor plat kereta Singapura isi RON95, warga emas didenda RM9,000

KULAI - Seorang lelaki warga emas didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah mempamerkan nombor pendaftaran kereta yang bukan milik kenderaan tersebut pada awal bulan ini.
Long Sa Kow, 64, yang merupakan pemastautin tetap Singapura selaku Orang Kena Saman (OKS), membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret R. Salini.
Mengikut pertuduhan, Sa Kow didakwa sebagai pemandu kereta jenis Volkswagen Jetta kerana mempamerkan nombor pendaftaran yang bukan milik kenderaan berkenaan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak di Batu 21/4, Jalan Johor Bahru–Air Hitam, Kulai, kira-kira jam 10.30 malam pada 2 Januari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87), yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh antara satu hingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli.
Sharmaine dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum memandangkan OKS merupakan pesara yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
“OKS menanggung seorang isteri yang merupakan suri rumah dan tiga orang anak, di mana dua daripadanya masih bersekolah. Ini adalah kesalahan pertamanya dan beliau berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini serta akan mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran.
“Hukuman ini bukan sahaja supaya OKS tidak mengulangi perbuatan itu, tetapi juga sebagai pengajaran kepada orang lain agar tidak melakukan kesalahan yang sama.
“Mahkamah boleh meneliti niat OKS yang mengubah serta mempamerkan nombor pendaftaran kenderaannya untuk menikmati hak rakyat Malaysia, termasuk mendapatkan minyak subsidi RON95,” katanya.
Berdasarkan fakta kes yang diakui benar oleh OKS, pada 4 Januari lalu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai telah mengesan satu video di Facebook yang memaparkan sebuah Volkswagen Jetta berwarna perak bernombor pendaftaran LJ 8967 sedang mengisi minyak RON95 di sebuah stesen minyak di daerah ini.
Hasil siasatan mendapati OKS merupakan pemandu kenderaan tersebut yang sepatutnya bernombor pendaftaran SLJ 8967 M, namun telah menutup huruf ‘S’ dan ‘M’ pada nombor pendaftaran itu bagi membolehkannya mengisi minyak subsidi RON95.
Pemeriksaan lanjut ke atas nombor enjin dan casis mengesahkan bahawa kenderaan itu didaftarkan dengan nombor pendaftaran SLJ 8967 M, dan bukan LJ 8967 seperti yang dipamerkan.
Sebelum itu, pada 3 Januari, tular satu video berdurasi satu minit 30 saat di media sosial yang memaparkan seorang individu mengesan perbuatan pemandu kereta berdaftar di Singapura yang sedang mengisi petrol RON95.
Pemilik video tersebut mendakwa ia mungkin merupakan taktik baharu warga Singapura untuk mengelirukan pihak berkuasa dengan menutup huruf pertama dan terakhir pada nombor pendaftaran kenderaan asing agar kelihatan seperti kenderaan tempatan.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki warga emas didenda RM9,000 kerana mempamerkan nombor pendaftaran kereta yang bukan milik kenderaan tersebut
- Long Sa Kow, 64, adalah pemastautin tetap Singapura dan telah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kulai
- Perbuatan itu dilakukan di stesen minyak di Batu 21/4, Jalan Johor Bahru–Air Hitam, Kulai pada 2 Januari
- Pendakwaan mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan hukuman denda RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara 1 hingga 5 tahun
- Long Sa Kow mengubah nombor pendaftaran SLJ 8967 M kenderaannya menjadi LJ 8967 untuk mengisi minyak subsidi RON95
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

