Kes tembak ada kaitan dendam, kawalan ketat sempadan - Saifuddin Nasution

MACHANG - Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak kemungkinan kes tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Kedah, mempunyai kaitan dengan dendam serta kawalan ketat di sempadan Malaysia-Thailand ketika ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun berkata, siasatan secara menyeluruh masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut.
"Siasatan masih berlangsung dan kita melihat sama ada ia mempunyai kaitan dengan kegiatan penyeludupan termasuk migran serta dendam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kampung Simpol Belubang di sini pada Sabtu.

Menurut Saifuddin Nasution, KDN mahu melihat sama ada motif dendam itu berpunca daripada langkah penguatkuasaan yang lebih ketat dilaksanakan di sempadan negara.
Katanya, beliau sudah mendapatkan maklumat penuh berhubung perkara itu daripada Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah.
Tambah beliau, insiden melepaskan tembakan itu merupakan antara risiko yang terpaksa dihadapi oleh anggota penguat kuasa.
"Macam Datuk Yusoff Mamat, Ketua Polis Kelantan, beliau tutup semua pangkalan haram, segala macam kena ugut. Di sana ditembak terus. Itu antara risiko yang perlu dihadapi," katanya.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan dua lagi individu disyaki mempunyai kaitan dengan kes tembakan terhadap AKPS Bukit Kayu Hitam ditahan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, penahanan terbaharu membabitkan lelaki tempatan berusia 51 dan 58 tahun di sekitar kawasan ini, menjadikan sembilan individu ditahan setakat ini.
Terdahulu, kenderaan Proton X70 dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M. Nasir, ditembak dengan dua das tembakan pada awal pagi Rabu.
Mohd Nasaruddin terselamat dalam kejadian pada jam 5.40 pagi itu.
Tembakan dilakukan suspek tidak dikenali berpakaian serba hitam yang menaiki motosikal ketika Mohd Nasaruddin sedang memandu kenderaan menghala ke Masjid Al-Muhajirin untuk menunaikan solat Subuh.
Ringkasan AI
- Kementerian Dalam Negeri tidak menolak kemungkinan kes tembakan terhadap Komander AKPS Bukit Kayu Hitam berpunca dari dendam dan kawalan ketat di sempadan Malaysia-Thailand
- Siasatan penuh masih berlangsung untuk identifikasi motif sebenar, termasuk hubungan dengan penyeludupan
- Motif dendam mungkin berkaitan dengan penguatkuasaan lebih ketat di sempadan
- Insiden tembakan itu dianggap risiko tugas penguat kuasa
- Dua individu lagi ditahan berhubung kes ini, menjadikan sembilan individu telah ditahan setakat ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

