Pemilik kenderaan asing tutup nombor pendaftaran isi RON95 akan didakwa esok
KULAI - Pemandu kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang tular selepas dikesan menutup dua huruf pada nombor pendaftaran kenderaan itu untuk mengisi minyak RON95 akan didakwa di mahkamah pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pendakwaan akan dibuat mengikut Seksyen 108(3)(E) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Tertuduh akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai pada esok dan akan dituduh," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Sebelum itu, Seng Lee berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima satu laporan berhubung video tular itu pada jam 5 petang, 4 Januari lalu.
"Video berdurasi seminit 30 saat itu memaparkan sebuah Volkswagen Jetta warna perak bernombor pendaftaran dipaparkan LJ8967, sedang mengisi minyak menggunakan RON95 di Stesen Minyak Kulai di Batu 21/4, Jalan Johor Bahru - Air Hitam di sini.
"Siasatan lanjut terhadap pemilik kenderaan itu telah dijalankan mendapati nombor pendaftaran kereta sudah diubah. Pemilik adalah pemegang status penduduk tetap (PR) Singapura," jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, satu tindakan kes telah diambil ke atas pengusaha stesen minyak berkenaan, kerana pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
Beliau dilaporkan berkata, tindakan itu diambil selepas hasil siasatan mendapati pihak pengusaha stesen minyak berkenaan disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan iaitu mengenai larangan penjualan minyak petrol RON 95 kepada kenderaan pendaftaran asing.
Ringkasan AI
- Pemandu kenderaan Singapura yang tutup huruf pendaftaran untuk beli RON95 akan didakwa
- Kes berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987
- Tertuduh akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai
- Pemilik kenderaan merupakan pemegang PR Singapura
- Pengusaha stesen minyak disiasat kerana melanggar arahan larangan jualan RON95 kepada kenderaan asing
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

