Pemilik kereta isi petrol RON95 berstatus PR di Singapura, polis panggil bantu siasatan

KULAI – Pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang dikesan menutup sebahagian nombor pendaftaran kenderaan itu bagi mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di sini telah berjaya dikesan polis.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, individu berkenaan memegang status Penduduk Tetap (PR) republik itu.
Jelas beliau, individu berkenaan yang kini berada di Singapura telah dihubungi dan diarahkan hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi membantu siasatan.
“Pemilik telah berjaya dikesan dan kini berada di Singapura. Dia telah dihubungi untuk hadir segera bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Sementara itu, Seng Lee menasihatkan orang awam supaya tidak mengubah atau menyembunyikan nombor pendaftaran kenderaan masing-masing kerana perbuatan tersebut adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi satu minit 30 saat di media sosial yang memaparkan seorang individu mengesan perbuatan pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura sedang mengisi petrol RON95.
Pemilik video mendakwa, kemungkinan ia adalah taktik baharu warga Singapura untuk mengelirukan pihak berkuasa dengan menutup huruf pertama dan terakhir nombor pendaftaran kenderaan asing tersebut supaya kelihatan seperti kenderaan tempatan.
Apabila didekati dan disoal, individu berkenaan mendakwa mereka bukan warga Singapura, sebaliknya rakyat tempatan, sebelum dilihat cuba meninggalkan lokasi dengan segera.
Semalam, Seng Lee dilaporkan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan saman terhadap pemilik kenderaan jika didapati nombor pendaftaran kenderaan itu menyalahi peraturan yang ditetapkan.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor, Lilis Saslinda Pornomo turut memaklumkan bahawa satu tindakan kes telah diambil terhadap pengusaha stesen minyak berkenaan atas pelanggaran Subperaturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
Beliau berkata, tindakan tersebut diambil selepas siasatan mendapati pengusaha stesen minyak disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan berkaitan larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing.
Ringkasan AI
- Pemilik kenderaan Singapura yang tutup nombor pendaftaran untuk isikan petrol RON95 di Kulai dikesan polis
- Individu itu adalah Penduduk Tetap Singapura dan disuruh hadir ke IPD Kulai untuk siasatan
- Kes disiasat di bawah Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987
- Tular video di media sosial menunjukkan tindakan menutup nombor pendaftaran untuk kelihatan seperti kenderaan tempatan
- Pengusaha stesen minyak disiasat atas pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

