Polis berjaya kesan pemilik kenderaan asing tutup nombor pedaftaran isi RON95

JOHOR BAHRU - Polis berjaya mengesan pemilik kenderaan asing yang didakwa mengisi minyak RON95 dengan taktik menutup nombor pendaftaran.
Ketua Polis Daerah Kulai Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, individu berstatus penduduk tetap (PR) itu kini berada di Singapura dan telah dihubungi untuk hadir segera ke bahagian trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Kita ingin menasihati orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya mengubah atau cuba menyembunyikan nombor pendaftaran kenderaan kerana menyalahi undang-undang," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 30 saat di media sosial memaparkan tindakan pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura sedang mengisi RON95, yang berjaya dirakam seorang individu.
Semalam, media melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor telah menjalankan pemeriksaan dan siasatan ke atas sebuah stesen minyak, susulan aduan dan maklumat yang tular.
Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo dilaporkan berkata, tindakan diambil di bawah Pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan iaitu larangan penjualan minyak Petrol RON 95 kepada kenderaan pendaftaran asing. - Bernama
Ringkasan AI
- Polis berjaya mengesan pemilik kenderaan asing yang didakwa mengisi minyak RON95 dengan taktik menutup nombor pendaftaran
- Pemilik kenderaan tersebut adalah penduduk tetap yang kini berada di Singapura
- Kes disiasat di bawah Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987
- Terdapat nasihat kepada orang ramai agar tidak mengubah atau menyembunyikan nombor pendaftaran kenderaan
- Video tindakan pemilik kenderaan mengisi RON95 tular di media sosial
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
