Tutup nombor pendaftaran kenderaan taktik baharu isi RON95

Pemandu kereta dengan nombor pendaftaran Singapura didakwa mengisi petrol subsidi RON95 dengan sebahagian huruf pada nombor plat disembunyikan, tular di media sosial.
Pemandu kereta dengan nombor pendaftaran Singapura didakwa mengisi petrol subsidi RON95 dengan sebahagian huruf pada nombor plat disembunyikan, tular di media sosial.
A
A
A

PENDEDAHAN mengenai pemilik kenderaan berdaftar Singapura yang menutup sebahagian nombor plat bagi mengisi petrol RON95 mencetuskan kebimbangan berkaitan ketirisan subsidi serta eksploitasi hak rakyat Malaysia.

Tindakan sedemikian bukan sekadar isu pelanggaran undang-undang trafik, malah membongkar taktik baharu yang semakin berani dan licik bagi mengaburi penguatkuasaan di lapangan.

Subsidi petrol RON95 diwujudkan khusus bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat Malaysia, dan apabila disalahgunakan oleh pihak yang tidak layak, ia memberi implikasi besar kepada negara termasuk kerugian kewangan.

Selain itu, rakyat tempatan turut terkesan akibat potensi kekurangan bekalan serta peningkatan tekanan fiskal kepada kerajaan.

Pada masa sama, kes ini turut mendedahkan kelemahan dari sudut penguatkuasaan bersepadu.

Meskipun undang-undang sedia ada adalah mencukupi, pelaksanaannya perlu diperkasakan dengan penggunaan teknologi seperti sistem pengecaman nombor pendaftaran automatik di stesen minyak, integrasi data kenderaan asing serta pemantauan masa nyata oleh pihak berkuasa.

Kerajaan juga perlu memperketatkan tanggungjawab pengusaha stesen minyak melalui latihan kesedaran, penguatkuasaan hukuman lebih tegas, serta pelaksanaan audit berkala bagi memastikan pematuhan — bukan sekadar bertindak selepas kes tular di media sosial.

Kempen kesedaran awam juga perlu diperkukuh agar rakyat memahami bahawa penyelewengan subsidi bukan isu remeh, sebaliknya menjejaskan kepentingan bersama.

Ini kerana kebergantungan kepada rakaman orang awam semata-mata bukanlah penyelesaian jangka panjang.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya taktik seperti ini tidak dibendung secara sistematik, ia berisiko menjadi norma baharu yang akhirnya meragut hak rakyat Malaysia.

Ketegasan, teknologi dan kerjasama antara agensi menjadi kunci utama memastikan subsidi benar-benar sampai kepada golongan yang berhak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!