Kerajaan pastikan bantuan cepat, pantas disalurkan kepada rakyat

Pemandu teksi yang dikenali sebagai Yap, 74, mengikuti siaran langsung pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat. - Foto Bernama
Pemandu teksi yang dikenali sebagai Yap, 74, mengikuti siaran langsung pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memastikan semua bantuan dan inisiatif yang dibentangkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) 2020 semalam sampai kepada kumpulan sasar dengan cepat, pantas dan telus, kata Menteri Kanan (Kluster Ekonomi) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata Kementerian Kewangan menerusi Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) akan membantu melancarkan penyampaian inisiatif itu kepada rakyat.

"Pada ketika ini, kami mempunyai data yang baik khususnya penerima bantuan kerajaan dalam golongan B40 dan peniaga kecil, PKS (perusahaan kecil dan sederhana) juga kami punyai data yang agak lengkap bagi memastikan mereka yang layak dapat menerimanya dengan cepat.

"...kami nak pertingkatkan data golongan M40 untuk pastikan data-data penerima adalah lengkap dan mereka yang benar-benar layak dapat hak mereka dalam pakej ini," katanya ketika program temu bual Bicara Naratif: Pakej Rangsangan Ekonomi yang disiarkan secara langsung menerusi RTM di sini hari ini.

Beliau berkata bagi syarikat dan PKS, Kementerian Kewangan dan Bank Negara telah menyediakan satu mekanisme untuk memudahkan semua permohonan dibuat.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata Program Subsidi Upah yang diumumkan semalam dapat membantu aliran tunai majikan selain mengekang rakyat daripada hilang pekerjaan.

"Kerajaan nak bantu majikan untuk mengekal pekerja di syarikat masing-masing kerana sekarang ini kebanyakan syarikat tiada pendapatan dan keuntungan akibat pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan kami tidak mahu syarikat mengambil alasan ini untuk membuang pekerja," katanya.

Program Subsidi Upah akan melibatkan bantuan sebanyak RM600 yang diberi menerusi majikan kepada pekerja swasta yang berpendapatan RM4,000 dan majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50 peratus sejak 1 Jan, langkah itu dijangka memanfaatkan 3.3 juta pekerja dengan peruntukan sebanyak RM5.9 bilion.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata sektor pertanian harus mengambil tindakan segera memperkenalkan pendekatan teknologi baharu seperti robotik dan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan produktiviti makanan negara selain mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Sekiranya petani dan peladang negara ini bersedia, Mohamed Azmin berkata, beliau yakin negara bukan sahaja dapat keluarkan produk makanan yang berkualiti tetapi mengurangkan import bahan makanan yang tinggi setiap tahun.

"Sekiranya negara mempunyai kapasiti mengeluarkan bahan makanan saya rasa kita mampu hadapi cabaran ini dengan lebih baik lagi kerana bila berlaku musibah seperti ini (PKP akibat Covid-19) kita terpaksa hadapi gangguan rantaian bekalan makanan," jelasnya.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Prihatin sebanyak RM250 bilion dengan matlamat melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi dalam menghadapi kesan pandemik Covid-19. - Bernama