LHDN kesan RM1.4 bilion pendapatan tidak dilapor

CYBERJAYA - Sebanyak RM1.4 bilion pendapatan tidak dilaporkan dikesan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) susulan pelaksanaan sistem e-Invois sejak Ogos 2024.
LHDN menerusi kenyataan pada Selasa memaklumkan, jumlah itu dikesan hasil semakan audit dan tindakan penguatkuasaan terhadap 17,1888 pembayar cukai yang sebelum ini gagal mengemukakan borang nyata cukai pendapatan (BNCP) telah tampil mematuhinya dengan melaporkan cukai bagi tahun taksiran ke belakang.
Ia sekali gus menyumbang hasil cukai sebanyak RM290 juta kepada negara.
“Usaha ini selari dengan komitmen LHDN untuk memperkukuh pematuhan cukai, mengekang ketirisan hasil negara serta memastikan pelaporan pendapatan dilaksanakan secara tepat dan mematuhi perundangan ditetapkan,” kata LHDN.
Sejak pelaksanaan e-Invois bermula pada 1 Ogos 2024, seramai 184,325 pembayar cukai telah mengemukakan e-Invois melibatkan pengeluaran keseluruhan sebanyak 979 juta e-Invois.
"Perkembangan ini menunjukkan tahap penerimaan yang baik dalam kalanganpembayar cukai termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terhadap pelaksanaan e-Invois sebagai langkah transformasi untuk mendigitalkan operasi perniagaan serta memastikan transaksi direkod atau disimpan secara lebih teratur sama ada di pihak penjual dan pembeli," ujarnya.
Bagi tempoh itu, 500,000 kes berpotensi telah dikenal pasti menunjukkan corak keupayaan kewangan yang tinggi tetapi tidak sepadan dengan rekod percukaian sedia ada, termasuk tiada rekod pelaporan pendapatan kepada LHDN.
"Melalui pendekatan ini, LHDN telah menjalankan semakan audit dan mengeluarkan peringatan untuk menggalakkan pembayar cukai membuat pengakuan secara sukarela sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan atau kesilapan dalam maklumat percukaian mereka," jelas kenyataan tersebut.
Menurut LHDN, pihaknya komited memberi sokongan penuh kepada kerajaan bagi memastikan setiap pihak menunaikan tanggungjawab cukai mereka dengan melapor dan membayar cukai dengan sewajarnya.
Dengan gabungan pendekatan berasaskan data dan teknologi terkini, LHDN sentiasa memastikan cukai dipungut secara adil dan saksama kepada golongan yang layak, serta berupaya mengesan sebarang ketidakpatuhan.
Sehubungan dengan itu, LHDN menasihatkan semua pembayar cukai supaya sentiasa memastikan maklumat percukaian yang dikemukakan adalah tepat, lengkap dan terkini bagi mengelakkan penalti yang lebih berat serta tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

