JWP 'buka' pintu awal kepada SPRM - Hannah

Hannah (tengah) semasa Majlis Menandatangani Nota Kerjasama JWP dan SPRM di Menara Seri Wilayah di Putrajaya pada Selasa.
Hannah (tengah) semasa Majlis Menandatangani Nota Kerjasama JWP dan SPRM di Menara Seri Wilayah di Putrajaya pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA – Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) ‘membuka’ pintu awal kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai langkah proaktif bagi memastikan sistem pentadbiran terus mendapat keyakinan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pihaknya mengambil pendirian tegas bahawa rasuah dan salah guna kuasa tidak mempunyai tempat dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, kerjasama dengan SPRM akan memastikan sistem pentadbiran tertakluk kepada semakan, pemantauan dan penambahbaikan berterusan.

“Langkah awal ialah memeterai nota kerjasama dengan SPRM melibatkan keenam-enam agensi di bawah JWP iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya, Perbadanan Labuan, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu serta Majlis Sukan Wilayah Persekutuan.

“Ia meliputi perkongsian maklumat serta kepakaran dalam pengesanan dan pengesahan aduan salah laku, di samping penyaluran maklumat berkaitan jenayah rasuah,” katanya selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Menara Seri Wilayah, di sini, pada Selasa.

Tambahnya, JWP telah mengenal pasti empat perkara dalam usaha memperkukuh tadbir urus dan tatakelola.

Jelasnya, pertama ialah melaksanakan pusingan kerja yang lebih kerap supaya unit khas dan sensitif tidak berdepan isu keakraban pegawai dengan pemegang taruh.

“Kedua, penambahbaikan tatacara pengurusan perolehan melalui pelaksanaan proses sebut harga dan tender sepenuhnya secara dalam talian.

“Ketiga ialah pelaksanaan penggunaan kamera badan oleh anggota penguat kuasa semasa operasi lapangan secara berfasa mulai suku keempat 2026. Selama ini, banyak aduan diterima mengenai tabiat rasuah semasa penguat kuasa turun ke lapangan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, perkara keempat pula ialah penilaian semula penarafan risiko pejabat Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) supaya pegawai SPRM boleh dipertimbangkan untuk ditempatkan di Unit Integriti agensi itu.

“Ini ialah usaha kami untuk menyakinkan rakyat bahawa agensi di bawah JWP seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) berhadapan setiap hari dengan berjuta rakyat.

“Kita membuka pintu awal kepada SPRM. Selalunya SPRM menyiasat mantan menteri atau mantan pengarah dengan mencari fail, tetapi kita mengambil langkah membuka pintu lebih awal dengan menjemput SPRM masuk dan memberi saranan kepada kita,” ujarnya.

Tegasnya, JWP akan mengambil saranan tersebut dengan serius untuk dilaksanakan.

“Jika kita tidak mengambil tindakan, kes demi kes akan berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, mana-mana kes jenayah tidak mempunyai tempoh had masa.

Menurut Azam, walaupun sebelum ini dilaporkan tiada kes, namun jika terdapat bukti baharu atau petunjuk baharu, SPRM akan menjalankan siasatan.

“Banyak kes terdahulu, sama ada suka atau tidak, kita teruskan siasatan,” ujarnya.

Bagi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, sebanyak 100 kamera badan telah digunakan oleh anggota operasi dan jumlah itu akan ditambah.

“Kita akan menambah lagi 100 unit kamera badan dan menjadikannya 200 unit.

“Setiap kali kita menjalankan operasi, kita akan memakai kamera. Jika ada keperluan, ia akan diteliti semula,” katanya.

Ringkasan AI

  • Jabatan Wilayah Persekutuan membuka pintu kepada SPRM untuk meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem pentadbiran
  • Kerjasama dengan SPRM melibatkan keenam-enam agensi di bawah JWP untuk memperbaiki sistem pengesanan dan pengesahan aduan salah laku
  • Peningkatan tadbir urus melalui kerap pusingan kerja, penambahbaikan proses sebut harga dan tender, serta penggunaan kamera badan oleh penguat kuasa
  • Usaha mengukuhkan integriti dan transparansi, termasuk penilaian semula penarafan risiko pejabat untuk membolehkan penempatan pegawai SPRM
  • SPRM akan menjalankan siasatan tanpa mengira tempoh masa jika terdapat bukti atau petunjuk baharu, menunjukkan keseriusan memerangi rasuah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!