[VIDEO] Kerajaan setuju tawar kredit e-tunai RM100 kepada rakyat

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju untuk menawarkan kredit e-tunai sebanyak RM100 kepada semua rakyat dewasa Malaysia yang berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif pemberian itu susulan melihat kepada kejayaan dan impak besar program e-tunai kepada masyarakat di negara ini.

"Bilangan penerima yang layak dianggarkan melebihi 10 juta rakyat iaitu merangkumi golongan B40 dan M40 dengan dana sekitar RM1 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Peluncuran Memperkasa Ekonomi Madani di Pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bukit Kiara pada Khamis.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, kejayaan pelaksanaan Program eBeliaRahmah (eBR), bukan sahaja memberi manfaat kepada dua juta belia, malah membantu sektor perniagaan menjana pendapatan mereka di samping membina masyarakat tanpa tunai.

Dalam pada itu, ujarnya, kerajaan amat mengalu-alukan syarikat pemula Malaysia seperti PolicyStreet, Dropee, Lapasar dan Funding Societies yang boleh menjadi agen perubahan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui penyediaan pembiayaan alternatif seperti 'equity crowdfunding' (pendanaan ramai ekuiti).

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Jelas beliau, ia berikutan usahawan PMKS bergantung kepada permintaan domestik bagi meningkatkan hasil pendapatan mereka.

"Kira-kira 79 peratus PMKS terdiri daripada perniagaan mikro. Walaupun kebanyakannya ialah pemilik tunggal atau mewarisi perniagaan keluarga, mereka punyai potensi berkembang lebih besar dan menembusi pasaran luar andai diberi dorongan dan kemudahan sewajarnya.

"Belanjawan Madani 2023 mengandungi lebih 70 inisiatif untuk perniagaan mikro dan kecil yang tertumpu kepada akses pinjaman dan jaminan pembiayaan.

"Banyak lagi yang mesti dilakukan. Kementerian Ekonomi telah memulakan pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bertujuan untuk memperkukuh rantaian bekalan perniagaan," ujarnya.

Sementara itu, ulas Anwar, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti sedang merangka arus halalan tayyiban melalui Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) dengan kerjasama industri dan ekosistem kewangan Islam untuk memperkukuh kedudukan negara sebagai peneraju ekonomi Islam global.

Katanya, usaha itu akan lebih menekankan pembiayaan ekuiti termasuk modal teroka, pendanaan ramai ekuiti dan ekonomi digital Islam, kewangan sosial Islam termasuk zakat, wakaf dan sedekah serta kaedah 'blended finance' yang menggunakan dana daripada sumber yang lebih luas.

"Pembaharuan kewangan Islam juga bakal memanfaatkan pertumbuhan dana alam sekitar, sosial dan tata kelola (ESG) sedunia.

"Insya-ALLAH usaha-usaha ini akan dapat memantapkan lagi sistem kewangan Islam di Malaysia seterusnya memperkukuh kedudukan kita sebagai peneraju ekonomi Islam global," ujarnya.

Pemberian e-tunai bantu kerajaan didik rakyat sedia hadapi ekonomi digital - Ahmad Maslan

Dalam pada itu, pemberian kredit e-tunai RM100 kepada lebih 10 juta rakyat berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mendidik masyarakat berdepan dengan ekonomi digital dan tanpa tunai pada masa depan, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Bagaimanapun beliau berkata, kira-kira 30 peratus daripada jumlah penerima e-tunai tersebut kemungkinan akan berdepan kesukaran untuk menerima bantuan itu kerana tidak mempunyai akses kepada sistem yang berkenaan.

"Jadi kita minta supaya para pemimpin setempat berusaha untuk membantu semua golongan mendapatkan e-tunai itu, sebagai contoh ketua kampung dan penghulu, untuk mengajar rakyat yang tidak begitu celik dengan teknologi, kerana ini satu proses (pembelajaran),” katanya kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Erbe, CTOS dan CelcomDigi, di sini, pada Khamis.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju menawarkan kredit e-tunai RM100 kepada semua rakyat dewasa Malaysia yang berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah.

Anwar berkata, bilangan penerima yang layak dianggarkan melebihi 10 juta orang iaitu merangkumi golongan B40 dan M40 dengan dana sekitar RM1 bilion.

Ujarnya, inisiatif pemberian kredit e-tunai itu diharapkan dapat membantu meningkatkan aktiviti ekonomi setempat selain bertujuan untuk mendidik rakyat mengenai ekonomi digitalisasi dan memupuk budaya masyarakat tanpa tunai.

Dalam pada itu beliau berkata, Kementerian Kewangan juga bersedia untuk melaksana segera pemberian e-tunai tersebut dan bantuan khas penghargaan RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta bantuan RM200 kepada pesara kerajaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri pada Khamis. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Bantuan khas RM300 kepada penjawat awam, RM200 pesara

Malaysia sasar di kedudukan 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2033

Kerajaan setuju tawar kredit e-tunai RM100 kepada rakyat

Kerajaan, GLIC labur RM1 bilion dana tambahan sokong syarikat pemula tempatan

Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat angkat dua tumpuan utama

Ekonomi Madani tetapkan tujuh penanda aras - PM