Eksekutif operasi bank dibunuh, polis minta anak sulung tampil bantu siasatan

ALOR SETAR - Seorang eksekutif operasi bank ditemukan maut dengan tiga kesan tikaman dalam kejadian di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, wanita berusia 52 tahun itu ditemui terbaring di bilik tidur dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Menurutnya, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 5 hingga 8 pagi sebelum disedari anak mangsa.
"Pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga kesan tikaman termasuk di dada dan tangan dipercayai akibat senjata tidak dikenal pasti kemungkinan gunting atau pisau.
"Semasa kejadian, mangsa bersama tiga anak berada di rumah berusia antara 10 hingga 18 tahun," katanya.
Menurut Adzli, sekitar jam 5 hingga 8 pagi, dipercayai seorang lagi anak mangsa berusia 29 tahun yang tinggal berasingan, telah datang ke rumah dan mengetuk pintu.
"Sebaik pintu dibuka oleh salah seorang adiknya, mereka kembali sambung tidur," jelasnya.
Bagaimanapun, kejadian hanya disedari anak mangsa apabila ternampak ibu mereka terbujur kaku selepas bangun tidur.
"Ketika itu, abang mereka yang baharu datang ke rumah, didapati telah tiada," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pemeriksaan badan mangsa mendapati terdapat kesan tikam dan pukul di bahagian kepala.
"Pasukan Forensik dan Unit K9 telah hadir bersama bantu siasatan. Pemeriksaan mendapati terdapat tiga kesan tikaman iaitu di bahagian perut dan atas payudara kiri selain cedera di pergelangan tangan.
"Terdapat kesan luka di bahagian kepala dan muka selain lebam di bahagian bahu kiri dan atas dahi serta luka di tapak tangan kiri," katanya.
Motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 320 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Beliau berkata, beg tangan mengandungi barang kemas, wang tunai dan telefon bimbit milik mangsa dikesan hilang.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Polis kini masih menjalankan siasatan lanjut dan giat mengesan suspek terlibat selain meminta penama Amirul Shafiq Shamsul Zahari, 29, yang juga anak sulung mangsa untuk tampil membantu siasatan," katanya.
Ringkasan AI
- Eksekutif operasi bank ditemukan maut dengan tiga kesan tikaman di Taman Sultan Abdul Halim
- Wanita itu ditemui oleh anaknya dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik tidur
- Kejadian berlaku sekitar jam 5 hingga 8 pagi dan disedari selepas anak-anaknya bangun tidur
- Kesan luka termasuk tikaman di dada dan tangan, serta luka di kepala dan muka
- Pembunuhan masih disiasat, barang kemas dan telefon bimbit mangsa hilang, polis mencari anak sulung mangsa untuk bantu siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

