Kuil tumpuan pelancong dicadang bina mini muzium

IPOH - Kuil-kuil yang menjadi tumpuan ribuan pelancong khususnya semasa sambutan Thaipusam dicadang membina sebuah mini muzium sebagai langkah strategik memelihara warisan budaya masyarakat India.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, selain sebagai tarikan pelancong, kewujudan muzium mini dapat membantu institusi keagamaan itu menjana pendapatan tanpa terlalu bergantung kepada sumbangan awam atau bantuan kerajaan.
Menurutnya, seperti Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh di sini, kuil tersebut menerima kunjungan ribuan pengunjung pelbagai kaum setiap tahun termasuk pelancong antarabangsa yang ingin mengenali budaya dan sejarah setempat.
"Saya akan berjumpa dengan jawatankuasa kuil bagi membincangkan perkara ini supaya ia dapat direalisasikan dalam masa terdekat.
"Kuil-kuil bukan sekadar tempat ibadat sahaja, tetapi sebagai pusat kebudayaan, kebajikan dan perpaduan masyarakat, selari dengan aspirasi Kerajaan Madani yang menekankan keharmonian serta saling menghormati antara kaum dan agama," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program pemberian 500 pek makanan percuma kepada pengunjung sempena sambutan Thaipusam di Little India di sini pada Isnin.
Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata, antara warisan dan sejarah boleh dipaparkan di mini muzium tersebut adalah kisah pembentukan Kampung Kacang Puteh susulan tragedi runtuhan batu di Gunung Cheroh pada tahun 1973 yang meragut banyak nyawa sehingga memaksa peniaga-peniaga kacang putih berpindah ke Buntong untuk membina semula kehidupan mereka.
Katanya, Kampung Kacang Puteh telah menjadi pusat pembuatan snek tradisional dan warisan budaya yang hidup, bukti ketabahan serta semangat komuniti yang wajar diketengahkan kepada generasi muda dan pelancong.
"Pengurusan kuil mungkin boleh mengenakan bayaran masuk minimum antara RM1 hingga RM2 kepada pengunjung muzium.
"Dengan cara ini, kuil boleh menjadi lebih berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada derma atau bantuan kerajaan. Ia juga boleh mewujudkan peluang pekerjaan kepada belia tempatan," katanya.
Ringkasan AI
- Kuil-kuil sambut Thaipusam dicadang bina mini muzium untuk pelihara warisan budaya
- Muzium mini bantu kuil jana pendapatan tanpa bergantung sumbangan atau bantuan kerajaan
- Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh tarik ribuan pengunjung setiap tahun untuk kenal budaya dan sejarah
- Mini muzium boleh papar warisan seperti kisah Kampung Kacang Puteh, bukti ketabahan komuniti
- Pengurusan kuil boleh kenakan bayaran masuk minimum RM1 hingga RM2 untuk keberdikarian kuil
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

