Pendidikan awal asas pembentukan modal insan berkualiti

PUTRAJAYA - Pendidikan awal kanak kanak merupakan pelaburan strategik negara yang memberikan pulangan jangka panjang dalam pembentukan modal insan berkualiti, sekali gus menjadi asas kepada masa depan negara lebih gemilang.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Datuk Mohd Hanafiah Man berkata, tempoh awal kehidupan kanak-kanak ialah fasa paling kritikal bagi membentuk asas kognitif, emosi, sosial dan zikal seseorang individu.
Menurutnya, pendidikan awal yang berkualiti bukan sahaja membentuk sahsiah, nilai murni dan kemahiran asas sejak kecil, malah berupaya mengurangkan jurang pencapaian antara kawasan bandar dengan luar bandar.
“Pelaburan dalam pendidikan awal memberikan pulangan tinggi kepada negara dalam jangka panjang termasuk pencapaian akademik lebih baik, peningkatan produktiviti serta pengurangan masalah sosial.
“Hal berkenaan juga membantu pemerkasaan kumpulan rentan seperti keluarga berpendapatan rendah (B40) dan kanak-kanak berkeperluan khas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu episod pertama Podcast Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW): Cerita Desa Kita yang bertemakan Asas Awal, Masa Depan Gemilang. Podcast itu membincangkan inisiatif KKDW melalui Kemas untuk memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak termasuk golongan berkeperluan khas.
Beliau turut menjelaskan, pelaksanaan dasar pada peringkat akar umbi Kemas diterjemahkan melalui penyediaan program taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) dan taman asuhan kanak-kanak (Taska) di seluruh negara khususnya di kawasan luar bandar.
Malah menurutnya, tabika khusus untuk kanak-kanak autisme turut dilaksanakan hasil perbincangan pihak berkepentingan bersama dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
“Kami ambil spektrum mild autism. Hasil daripada perbincangan itu, keputusannya kami buat tiga tabika rintis di Melaka yang prosesnya bukan mudah.
“Kita harus mempersiapkan guru-guru menerusi penganjuran program dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia melibatkan kursus kepada tenaga pengajar sementara mempersiapkan kelas-kelas yang sesuai dengan anak-anak mild autism.
“Kena ada ruangan tantrum, peralatan dan bahan bantu mengajar sesuai untuk membina karakter diri kerana matlamat tabika autism adalah untuk anak-anak ini boleh mengurus diri sendiri,” jelasnya.
Tabika Tunas Istimewa / Autisme
Beliau berkata, tabika tersebut kini telah dimulakan di seluruh negara dengan setiap negeri mempunyai satu kelas kecuali tiga di Melaka, tiga di Wilayah Persekutuan dan dua di Perak.
Menurutnya, permohonan untuk memasuki tabika tersebut kini mencecah hampir 300 orang namun atas faktor seorang guru tidak dibenarkan mengajar lebih tujuh orang, maka pihaknya hanya mampu menampung 150 murid buat masa ini.
“Bagaimanapun bermula pada suku kedua tahun ini, kami akan memulakan proses persiapan, latihan guru dan bangunan fizikal.
“Insya-ALLAH menjelang tahun 2027, setiap daerah melibatkan 132 daerah di Malaysia, akan ada sebuah tabika autism,” katanya.
Beliau menjelaskan, pendekatan pembelajaran di Tabika Tunas Istimewa bersifat individualistik dan fleksibel, disesuaikan dengan keperluan setiap murid yang merangkumi rutin harian konsisten, penggunaan bahan bantu mengajar mesra autisme serta elemen terapi bermain, komunikasi visual dan aktiviti sensori.
Oleh itu, ibu bapa dan komuniti dapat memperkukuh peranan melalui pendekatan kolaboratif melibatkan sesi taklimat, bengkel keibubapaan serta penglibatan komuniti dari segi sokongan moral, fasiliti dan kepakaran.
“Kami ada matlamat untuk ekosistem pendidikan awal autisme agar mereka yang belajar di tabika ini tidak dihantar ke kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), tetapi terus kepada pendidikan inklusif.
“Ini menjadi cabaran kepada kami dan dalam perbincangan dengan Kementerian Pelajaran Malaysia, hasrat ini memang dinyatakan.
“Biarlah kami mengambil tanggungjawab untuk mendidik. Apabila mereka memasuki tahun satu, anak-anak ini tidak pergi ke PPKI. Kami mahu agar mereka ke saluran pendidikan inklusif yang lebih terbuka,” ujarnya.
Tabika SmartClassroom@Kemas
Mohd Hanafiah menjelaskan, tabika pintar pula bertujuan untuk memperkasakan kaedah pengajaran prasekolah agar lebih interaktif, moden dan selari dengan perkembangan teknologi semasa.
Inisiatif tersebut menurutnya, bertujuan untuk membantu melahirkan kanak-kanak celik digital sejak usia awal serta membina kemahiran abad ke-21 seperti komunikasi, pemikiran kritis dan kreativiti.
Beliau berkata, penggunaan teknologi seperti papan pintar, aplikasi pembelajaran dan video interaktif mampu menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan, meningkatkan tumpuan serta motivasi kanak-kanak. Menurutnya, pendekatan itu amat relevan untuk konteks luar bandar kerana membawa teknologi moden terus ke kawasan yang kurang mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, sekali gus merapatkan jurang pendidikan antara bandar dengan desa.
Sementara itu, untuk perancangan jangka panjang, beliau memaklumkan bahawa KKDW melalui Kemas akan terus memperluas capaian pendidikan awal melalui penambahan bilangan Tabika dan Taska, meningkatkan kualiti guru, memperkasakan integrasi teknologi serta mengukuhkan kerjasama bersama dengan ibu bapa dan komuniti.
“Pendidikan awal ialah asas penting pembangunan insan yang holistik dan inklusif, perlu digerakkan secara bersama, demi memastikan generasi masa depan mendapat permulaan terbaik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

