Tanah runtuh Sumatera Barat: Kenderaan dinaiki rakyat Malaysia, 7 warga Indonesia hanyut

Seorang rakyat Malaysia dilaporkan hilang akibat tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat pada 27 November lalu. Foto Reuters
Seorang rakyat Malaysia dilaporkan hilang akibat tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat pada 27 November lalu. Foto Reuters
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Medan melaporkan perkembangan terkini mengenai seorang rakyat Malaysia yang disahkan hilang selepas terlibat insiden tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat pada 27 November lepas.

Kementerian berkata, maklumat awal mendapati kenderaan yang dinaiki mangsa, Asrul Nizam Apridwson, 30, bersama tujuh warga Indonesia dipercayai ahli keluarga telah dihanyutkan oleh tanah runtuh.

Menurutnya, Konsulat Jeneral sedang mengadakan kerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dalam operasi mencari dan menyelamat.

“Empat daripada penumpang warga Indonesia itu telah dikesan, manakala usaha mencari rakyat Malaysia serta tiga lagi warga Indonesia masih diteruskan.

“Ibu bapa mangsa kini berada di Padang dan Konsulat Jeneral sedang menyalurkan bantuan serta sokongan sewajarnya kepada keluarga sepanjang tempoh mereka di sana,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Kenyataan media Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Medan pada Isnin.
Kenyataan media Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Medan pada Isnin.

Dalam perkembangan berasingan, Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa tiga lagi rakyat Malaysia gagal dihubungi sejak 27 November lalu rentetan kejadian banjir dan tanah runtuh di sana.

Kata kementerian melalui Konsulat Jeneral, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai tiga mangsa tersebut, iaitu dua lelaki dan seorang perempuan berumur antara 63 hingga 64 tahun.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, maklumat awal menunjukkan mereka dipercayai berada di Aceh atau Sumatera Utara.

“Konsulat Jeneral sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengesan kedudukan mangsa dan memberikan bantuan yang diperlukan.

“Rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas seperti Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh dinasihatkan agar berwaspada setiap masa, ikuti perkembangan terkini serta patuhi arahan pihak berkuasa tempatan,” ujarnya lagi.

Kementerian turut menambah, waris rakyat Malaysia yang berada di Indonesia dan sukar untuk menghubungi ahli keluarga masing‑masing digalakkan menelefon Konsulat Jeneral Malaysia di Medan bagi mendapatkan bantuan, memandangkan ramalan cuaca buruk dijangka berterusan di rantau berkenaan.

“Hubungi talian +62 823-6164-6046 yang beroperasi 24 jam atau e-mel di mwmedan@kln.gov.my,” jelas kenyataan itu.

Kementerian dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan Konsulat Jeneral Malaysia di Medan akan terus berhubung dengan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia, Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Sumatera Barat dan polis tempatan (Polres Padang Panjang) untuk mendapatkan maklumat terkini.

 

 

Ringkasan AI

  • Kementerian Luar Negeri melaporkan seorang rakyat Malaysia hilang akibat tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat pada 27 November
  • Asrul Nizam Apridwson, bersama tujuh warga Indonesia, dipercayai ahli keluarga, dinaiki kenderaan hanyut akibat tanah runtuh
  • Konsulat Jeneral Malaysia di Medan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha pencarian dan penyelamatan
  • Empat warga Indonesia sudah dikesan, pencarian terhadap Asrul Nizam dan tiga warga Indonesia lain masih berlangsung
  • Tiga rakyat Malaysia lain juga gagal dihubungi akibat kejadian banjir dan tanah runtuh di Indonesia sejak 27 November

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!