Polis dedah punca kematian pelajar SBP

Mohd Alwi
Mohd Alwi
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Jerutan pada leher disahkan menjadi punca kematian pelajar lelaki Tingkatan Tiga sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar yang ditemukan meninggal dunia pada Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, keputusan itu diperolehi hasil bedah siasat yang selesai dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Taiping sekitar jam 1 petang pada Khamis.

Menurutnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa meninggal dunia sekitar jam 10.35 pagi di tandas sebuah bangunan sekolah berkenaan sebelum disedari seorang pelajar kira-kira jam 2.45 petang.

"Pemeriksaan dijalankan turut mengesahkan tiada kesan kecederaan lain ditemukan pada tubuh mangsa.

"Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Khamis.

Beliau berkata, polis sudah merakam percakapan enam pelajar dan lima guru yang dipercayai boleh membantu siasatan kes berkenaan, selain keterangan ibu bapa mangsa.

Katanya, berdasarkan keterangan diberikan, mangsa berada di sebuah bilik sakit di sekolah tersebut sejak Isnin kerana kurang sihat.

"Bilik itu disediakan untuk pelajar yang kurang sihat dan tidak memerlukan rawatan di hospital. Bilik itu dilengkapi CCTV bagi membolehkan pihak sekolah memantau keadaan mereka.

"Penelitian terhadap tiga siri CCTV yang diterima di bilik berkenaan tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah atau buli," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian melaporkan, bapa mangsa memaklumkan rutin harian persekolahan dan di asrama anaknya itu berjalan seperti biasa, sama seperti pelajar lain.

Menurut beliau, anaknya yang mula bersekolah di institusi berkenaan sejak Tingkatan Satu juga tidak pernah berkongsi sebarang masalah berkaitan kehidupan asrama.

Jenazah mangsa dijadualkan dikebumikan di Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!